1.0 PENGENALAN
Apa yang selalu diwarisi oleh negara-negara yang telah dijajah ialah satu
sistem pendidikan yang tidak memenuhi keperluan dan kehendak negara itu dengan
sepenuhnya. Negara-negara yang baru merdeka telah tidak teragak-agak untuk
mencari satu sistem pendidikan yang pada pendapat mereka sesuai dengan kemajuan
dan keadaan negara mereka sendiri.
Di Malaysia, proses mencari satu sistem pelajaran yang
dapat memenuhi kehendak-kehendak rakyat dan keperluan negara bermula dengan
Laporan Razak (1956). Laporan Razak 1956 merupakan cadangan-cadangan yang
dibuat oleh satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pendidikan 1956 yang
ditubuhkan oleh kerajaan sementara Parti Perikatan yang memerintah Tanah Melayu
pada ketika itu.
Jawatankuasa ini ditubuhkan pada bulan September 1955 dan
dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak bin Haji Hussein, Menteri Pendidikan ketika
itu. Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab berat untuk melakukan reformasi dan
pembaharuan dalam sistem pendidikan dan dasar-dasar yang dicadangkannya merupakan
dasar-dasar reformasi pendidikan.
Jawatankuasa ini, dalam laporannya menyatakan bahawa
"tujuan dasar pendidikan di dalam negara ini adalah untuk menyatukan
budak-budak daripada semua bangsa dalam negara ini dengan menggunakan satu
peraturan pendidikan yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa
Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dengan cara beransur-ansur".
Kenyataan ini membayangkan kepentingan cara hidup demokrasi dengan sikap tolak
ansur dan mendukung semangat perpaduan kaum.
2.0 ISI KANDUNGAN LAPORAN RAZAK
Cadangan-cadangan yang terkandung di dalam Laporan Razak
1956 adalah seperti berikut :
i.
Untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
semua murid dalam semua jenis sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan wajib mempelajari
Bahasa Melayu. Murid-murid pada tahun akhir sekolah rendah wajib lulus Bahasa
Melayu untuk menaiki sekolah menengah, dan wajib lulus juga mata pelajaran
tersebut dalam peperiksaan menengah rendah dan menengah atas.
ii.
Untuk meningkatkan kualiti pengajaran Bahasa Melayu,
sebuah institut bahasa wajar dibina oleh kerajaan bagi mengeluarkan guru-guru
bahasa Melayu yang terlatih dan pakar, dan bagi menjalankan kajian bagi
perkembangan bahasa Melayu. Selain itu, kerajaan wajar membina satu agensi sastera
untuk menerbitkan bahan-bahan pendidikan dan bacaan dalam bahasa Melayu.
iii.
Untuk memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,
kelulusan dalam bahasa Melayu perlu untuk memperoleh jawatan dalam perkhidmatan
kerajaan, mendapat biasiswa kerajaan, dan untuk memasuki maktab-maktab
perguruan.
iv.
Pengarah Pendidikan hendaklah memastikan bahawa mutu
pembelajaran bahasa Melayu dipertingkatkan di sekolah-sekolah menengah dan
bahasa itu wajib menjadi mata pelajaran prinsipal dalam Sijil Tinggi
Persekolahan. Tambahan lagi, tabung khas mesti diwujudkan di universiti untuk
pengajian bahasa Melayu.
v.
Sekolah-sekolah rendah kebangsaan ditubuhkan dan ditaja
oleh kerajaan, dan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah
berkenaan. Sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Inggeris, Cina dan Tamil
terus kekal dengan bahasa pengantar masing-masing. Memandangkan bilangan
pendaftaran murid akan bertambah, maka langkah wajar perlu dibuat oleh kerajaan
adalah membina maktab-maktab perguruan bagi mengeluarkan tenaga kerja guru
terlatih yang mencukupi.
vi.
Semua sekolah rendah dan menengah kerajaan dan bantuan
kerajaan mesti menggunakan satu sukatan pelajaran dan peperiksaan yang
standard. Geran kewangan untuk sekolah-sekolah adalah pada kadar seragam.
vii.
Saiz sesuatu sekolah sewajarnya tidak melebihi 600 orang
murid dalam 15-16 buah bilik darjah, dan saiz sesuatu kelas tidak melebihi 40
orang murid.
viii. Menteri Pendidikan
bertanggungjawab terhadap dasar-dasar pendidikan dalam Persekutuan Tanah
Melayu, sekolah-sekolah menengah, latihan guru, pendidikan teknik dan
perdagangan, peperiksaan, dan geran kewangan yang disalurkan kepada kerajaan
negeri dan penguasa pelajaran setempat untuk pendidikan rendah.
ix.
Peruntukan undang-undang diadakan untuk menubuhkan Jemaah
Pengelola bagi semua sekolah rendah dan menengah.
x.
Satu badan bebas Jemaah Nazir diwujudkan untuk menyelia
sekolah-sekolah, dan jemaah melaporkan terus dan beberapa tanggungjawab kepada
Menteri Pendidikan dalam menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Nazir mempunyai hak
untuk melawat mana-mana sekolah tajaan kerajaan, tetapi tidak ada kuasa untuk
mengeluarkan arahan atau perintah kepada kakitangan sekolah.
xi.
Satu latihan guru bersepadu diwujudkan untuk
menyeragamkan latihan guru di maktab-maktab perguruan, dan diadakan juga satu
skim gaji yang seragam untuk guru-guru berdasarkan kelayakan atau merit, dan
mereka boleh diserapkan ke jawatan pentadbiran dan jawatan nazir.
xii.
Dicadangkan ada peraturan dan syarat seragam tentang
kemasukan murid, kelas ulangan, pembuangan, dan had umur murid di sekolah
rendah.
xiii. Pembelajaran
bahasa Inggeris wajib di sekolah-sekolah rendah.
xiv.
Kursus sekolah menengah adalah dalam tempoh 5-6 tahun,
yang membolehkan pelajar mendapatkan pekerjaan selepas mereka tamat atau boleh
meneruskan pelajaran ke peringkat lepas menengah. Pendidikan menengah terbahagi
kepada tiga jenis, iaitu pendidikan akademik, pendidikan vokasional, dan
pendidikan teknik.
xv.
Sekolah menengah bertujuan melatih rakyat yang berupaya
bekerja dan rakyat Malaya yang taat serta menggalakkan perkembangan budaya,
bahasa dan kemasyarakatan. Untuk tujuan itu, hanya satu jenis sekolah menengah
perlu ada agar semua pelajar lulus peperiksaan yang sama, walaupun ada
fleksibiliti dalam kurikulum untuk pembelajaran beberapa bahasa dan budaya.
xvi.
Pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris adalah wajib
untuk semua murid sekolah menengah.
xvii.Dicadangkan ada
peperiksaan saringan masuk ke sekolah menengah pada akhir pengajian sekolah
rendah, peperiksaan menengah rendah selepas tiga tahun belajar di menengah
rendah, dan peperiksaan Sijil Persekolahan Cambridge pada akhir lima tahun
menengah.
xviii. Pendidikan pasca
menengah terus dikekalkan untuk membolehkan pelajar-pelajar terbaik belajar
dari guru-guru berkaliber untuk bersedia memasuki Universiti Malaya atau
universiti luar negara.
xix.
Pendidikan lanjutan atau pendidikan separuh masa diadakan
untuk orang dewasa atau orang yang tercicir daripada pendidikan rendah.
Kelas-kelas untuk mereka itu diadakan pada waktu petang atau malam. Kelas
perdagangan diadakan oleh kerajaan tempatan untuk orang yang tamat pengajian
rendah dan bahasa pengantarnya dalam bahasa Melayu atau bahasa lain.
xx.
Pendidikan teknik diadakan oleh maktab teknik atau
institut teknik. Maktab teknik untuk pelajar yang telah tamat dan lulus
menengah atas, dan institut teknik untuk pelajar-pelajar teknik yang telah
tamat dan lulus tiga tahun menengah rendah.
Tujuan utama laporan ini adalah menjadikan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.
Dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Jawatankuasa Razak
mengharapkan agar perpaduan antara kaum di Tanah Melayu dapat dieratkan lagi.
Laporan Razak ini juga bertujuan untuk mengembangkan
sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Selain
itu, kewujudan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan
merupakan tujuan lain Laporan Razak tersebut diwujudkan. Tujuan ini
berkeupayaan melahirkan masyarakat yang bertoleransi, berdisiplin, terlatih,
liberal dan progresif serta berkeupayaan memenuhi keperluan negara yang merdeka
dan memperkembangkan sistem pendidikan.
Laporan Razak telah diluluskan pada April 1957 dan
dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Pelaksanaan perlakuan
Jawatankuasa Razak ini agak berjaya dalam semua hal.
3.0 PENGARUH LAPORAN RAZAK KE ATAS PERPADUAN PELBAGAI ETNIK DI MALAYSIA
Perpaduan didefinisikan sebagai satu proses
menyatupadukan seluruh masyarakat agar dapat membentuk satu identiti dan nilai
bersama serta perasaan cinta dan bangga terhadap tanah air. Menyedari akan
wujudnya kesan negatif semasa pemerintahan British di Tanah Melayu yang
memecahbelahkan perpaduan kaum, maka satu penyeragaman untuk membaiki hubungan
antara kaum perlu dilakukan dengan segera.
Malaysia yang merupakan sebuah negara
yang kompleks, bukan sahaja daripada struktur pemerintahannya malah dari segi
penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh yang demikian, tindakan
bagi mencapai perpaduan yang harmoni dan tahap kerjasama yang erat antara
masyarakat berbilang bangsa adalah amat penting.
Satu cara yang penting untuk mewujudkan
perpaduan dalam sebuah negara adalah menerusi pendidikan. Pendidikan merupakan
alat penting bagi menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan
generasi muda terutamanya pelajar sekolah. Perpaduan melalui pendidikan hanya
dapat dicapai menerusi sistem persekolahan dengan kurikulum yang seragam untuk
semua kaum. Di samping sistem pendidikan di peringkat sekolah, dasar pendidikan
pada peringkat maktab dan universiti perlu dirangka untuk mencapai perpaduan
yang lebih kukuh.
Pengenalan Laporan Razak yang mempunyai
matlamat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia melalui
sistem pendidikan telah mula dilaksanakan. Menerusi laporan ini, perpaduan
dapat disemai dalam kalangan para pelajar. Laporan ini juga merupakan daya
penggerak untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan
berdisiplin.
Di Malaysia, hakikat bahawa pendidikan
merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama
disedari. Cabaran yang dihadapi oleh masyarakat telah mendorong pihak kerajaan
untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan melalui pendidikan. Pihak kerajaan telah
mewujudkan sistem persekolahan yang sama bagi semua kaum.
3.1 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar
Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan
sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan jelas dinyatakan melalui
objektifnya iaitu untuk mencapai perpaduan melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar di sekolah-sekolah.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar amat berkait rapat dengan usaha pembinaan negara bangsa. Bahasa
Melayu digunakan untuk membantu mewujudkan perpaduan kebangsaan dan menjadi
wahana yang berkesan dalam komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat
yang mempunyai pelbagai dialek. Dengan menguasai penggunaan bahasa Melayu yang
betul, individu akan lebih mudah menerima maklumat yang ingin disampaikan oleh
individu lain meskipun terdiri daripada etnik yang berbeza.
Selain itu, bahasa Melayu juga dapat
membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa
komunikasi yang mudah difahami. Penggunaan bahasa Melayu tidak menimbulkan isu
penghapusan penggunaan bahasa Cina dana bahasa Tamil dalam usaha memelihara
perpaduan kaum yang ingin dicapai. Namun begitu, di sekolah menengah penggunaan
bahasa Melayu dipraktikkan dengan tujuan memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan
pelajar sekolah.
Di samping itu, penggunaan bahasa
Melayu mampu mewujudkan perhubungan dan persefahaman antara kaum tanpa
menimbulkan rasa curiga daripada mana-mana pihak. Langkah tersebut akan
mempercepatkan lagi perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini. Kesan
daripada objektif Laporan Razak yang memberi keutamaan kepada penggunaan bahasa
Melayu telah menyebabkan penekanan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan
bahasa kebangsaan diperkuatkan dan dijalankan dengan cara yang lebih berkesan
selepas tragedi kaum 1969.
Hari berganti hari, penggunaan bahasa
Melayu semkain meluas dan majoriti rakyat Malaysia boleh bertutur dalam bahasa
Melayu. Kini, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar utama di semua
peringkat sekolah. Hal ini membuktikan bahawa melalui penggunaan satu bahasa
sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dan sukatan pelajaran mampu
membentuk perpaduan yang telah dihasratkan oleh pihak kerajaan Malaysia.
Tanpa penggunaan dan pengenalan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar dan kebangsaan sudah pasti proses mewujudkan
masyarakat yang bersatu padu tidak mampu diwujudkan kerana tunjang dan asasnya
yang tiada. Hal ini demikian kerana sebelum pengenalan Laporan Razak,
masyarakat pelbagai kaum lebih selesa melakukan tugas sendiri tanpa
mempedulikan kaum lain. Bukan itu sahaja, malah tidak wujud komunikasi antara
satu sama lain akibat kesukaran memahami bahasa yang digunakan oleh sesuatu
kaum yang berbeza. Oleh hal yang
demikian Laporan Razak telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan
sehingga kini dan bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua
peringkat sekolah.
3.2 Penyeragaman Kurikulum Di Semua Sekolah
Kurikulum adalah satu rancangan pendidikan yang
mengandungi segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma,
unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat
untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Peranan kurikulum dalam
pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi
jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga
berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam
mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan
tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara pada masa akan datang.
Pada zaman pemerintahan British, pihak
kerajaan British sengaja mengasingkan kaum Melayu, Cina dan India dalam kawasan
yang berbeza dan sistem pendidikan yang berbeza untuk mewujudkan jurang yang
amat besar dalam kalangan mereka. Masyarakat Cina dan India yang merupakan kaum
pendatang pada ketika itu diberikan pendidikan berdasarkan sukatan pelajaran
nehara China dan India sehingga tidak wujud semangat patriotik dan munculnya
sifat prejudis antara kaum.
Sekolah-sekolah yang diwujudkan pada
zaman pemerintahan British adalah mengikut kaum masing-masing, tiada bahasa
pengantar yang tunggal, kedudukan geografi yang berbeza serta kurikulum yang
tidak sehala telah menghadkan pergaulan antara pelajar sekolah. Pihak British
tidak menitikberatkan objektif perpaduan dalam sistem pendidikan. Kewujudan
sistem pendidikan pelbagai kaum telah menghasilkan benih perpecahan, malah
tidak wujud perkongsian dan persamaan antara kaum di Tanah Melayu. Laporan
Razak telah berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum ini melalui
kurikulum seragam yang dibina dalam usaha mendukung cita-cita negara mewujudkan
perpaduan berdasarkan Rukun Negara sehingga ke hari ini.
Kurikulum dan perpaduan kebangsaan
mempunyai hubungan yang sangat rapat. Selain daripada memberi ilmu pengetahuan,
kurikulum mampu membentuk keperibadian dan perwatakan pelajar yang baik dan
boleh membawa kepada lahirnya sikap toleransi
dan perpaduan antara mereka. Pelajar daripada pelbagai kaum mengikuti
kurikulum seragam melalui sukatan mata pelajaran yang sama kandungannya,
kegiatan luar bilik darjah dan pengambilan peperiksaan awam yang sama.
Sukatan pelajaran yang sama isi
kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak dianggap sebagai salah satu asas
sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara. Mata pelajaran
Sejarah memainkan peranan penting dalam usaha mencapai matlamat pembangunan.
Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan
perasaan hormat-menghormati terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum, agama
dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan setiap
kaum di Malaysia hampir sama dan tidak mewujudkan perselisihan dalam
persefahaman.
Oleh hal yang demikian, para pelajar
lebih terbuka dalam memahami kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini
iaitu Malaysia. Para pelajar daripada semua kaum diberi pendidikan berdasarkan
kurikulum seragam yang berfokuskan Tanah Melayu. Melalui kurikulum yang seragam
ini, lepasan sekolah kebangsaan memliki pengalaman sekolah yang sama, menerima
jenis pendidikan yang sama dan mempunyai orientasi serta pandangan dunia yang
sama.
Usaha menyeragamkan kurikulum ini telah
berjaya melahirkan semangat patriotik yang tinggi terhadap Tanah Melayu. Sikap
saling bertolak ansur dan memahami kehidupan pelbagai kaum serta pemahaman
bahawa perkongsian dalam negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum adalah
sangat diperluan bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara yang tercinta
ini.
3.3 Sekolah Kebangsaan
Laporan Razak telah mencadangkan penubuhan sekolah
kebangsaan bagi menggalakkan penyatuan pelbagai jenis kaum dalam satu sekolah
seterusnya mencapai objektif yang telah digariskan dalam laporan Razak iaitu
mencapai perpaduan kaum. Situasi tersebut mampu membantu perpaduan kaum apabila
pelajar mula bersahabat dan melakukan aktiviti bersama di bawah satu bumbung
dan menggunakan semua kemudahan sekolah yang sama tanpa sebarang diskriminasi.
Penubuhan sekolah kebangsaan telah
memudahkan para pelajar memahami adat, budaya, pemikiran dan perkara-perkara
yang sensitif yang tidak boleh dipermainkan dan diungkit dalam sesebuah kaum.
Bukan itu sahaja, malah para pelajar juga dapat memupuk semangat kekitaan
antara satu sama lain meskipun mempunyai latar belakang keturunan yang pelbagai.
Sekolah kebangsaan terbahagi kepada dua
iaitu sekolah rendah dan menengah. Sekolah rendah pula dibahagikan kepada
Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Bahasa
Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar. Di sekolah tersebut, bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh
semua pelajar tanpa terkecuali. Murid yang berketurunan Cina dan Tamil di
sekolah aliran Inggeris diberi peluang mempelajari bahasa ibundanya jika
terdapat 15 orang atau lebih pelajar yang ingin belajar. Guru-gurunya pula
mestilah mempunyai Sijil Sekolah Menengah Rendah dan mendapat latihan sepenuh
masa setahun dan separuh masa dua tahun.
Sekolah menengah pula dibahagikan
kepada tiga peringkat iaitu sekolah menengah rendah (3 tahun), sekolah menengah
atas (2 tahun) dan pra - U (2 tahun). Satu jenis sekolah menengah sahaja yang
menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib.
Sekolah ini terbuka kepada semua kaum dan menggunakan sukatan mata pelajaran
yang sama. Bagi memasuki sekolah menengah, pelajar haruslah lulus peperiksaan
yang melayakkan mereka memasuki sekolah menengah.
3.4 Sistem Peperiksaan Yang Sama
Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah
diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam.
Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para
pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini
boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping
mewujudkan keperibadian yang sama. Kini,
dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan menampakkan hasilnya.
Pendidikan menjadi alat membentuk perpaduan kaum.
Sistem peperiksaan di sekolah menengah rendah mempunyai
dua peringkat penting untuk melayakkan mereka meneruskan pengajian di peringkat
yang lebih tinggi iaitu di sekolah menengah atas. Sebelum memasuki sekolah
menengah atas, pelajar akan menduduki peperiksaan di peringkat Tingkatan 3 (
peperiksaan bersama) dan haruslah lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP/LCE). Di
peringkat sekolah menengah atas, mereka akan menduduki peperiksaan bersama di
Tingkatan 5 untuk memperoleh Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf
dengan Cambridge Overseas Certificate.
Setelah lulus di peringkat sekolah menengah atas, pelajar
boleh melanjutkan pengajian di peringkat Pra - U. Peperiksaan di Pra - U tahun
kedua adalah untuk memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran (SP/HSC) untuk memasuki
universiti. Sistem peperiksaan menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata
pelajaran yang diambil di peringkat yang lebih rendah untuk meneruskan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
RUMUSAN
Laporan Razak ini telah membina satu struktur sistem pendidikan Malaysia
yang lebih sistematik, demokratik dan relevan dengan masyarakat negara ini
berbanding dengan sistem pendidikan kolonial Inggeris yang menekankan keagungan
Barat dan agama Kristian dalam kurikulumnya.
Kebanyakan orang percaya bahawa sistem pendidikan
berfungsi sebagai agen penyebaran ilmu semata-mata, yang tidak terpengaruh
dengan urusan politik, tetapi ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana dasar,
matlamat dan kurikulum sentiasa terpengaruh dengan perkembangan politik dan
aspirasi masyarakat.
Pendidikan juga terpengaruh dengan keperluan pembangunan
sosial dan kesejahteraan hidup rakyat. Laporan Razak, sebagai contoh amat
menitikberatkan peranan pendidikan dalam pembangunan sosial. Beberapa cadangan
di dalam Laporan Razak secara jelasnya mengetengahkan usaha agar perpaduan
etnik di Tanah Melayu pada ketika itu dapat dijana sekali gus dikekalkan.
Hasilnya, perpaduan antara kaum di negara ini sangat ketara dan memberikan
sumbangan besar dalam memajukan negara.
Tuntasnya, Laporan Razak telah memberikan sumbangan besar
terhadap bidang pendidikan serta pembangunan negara. Cadangan-cadangan di dalam
Laporan Razak telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan di dalam sistem
pendidikan di Malaysia pasca merdeka dan sebahagian besarnya masih dikekalkan
sehingga kini. Sudah terang lagi bersuluh, Laporan Razak ini juga memainkan
peranan penting dalam memastikan perpaduan antara kaum sentiasa terjalin.
Dengan bertunjangkan perpaduan rakyat berbilang kaum akhirnya Malaysia kini gah
berdiri di persada dunia.
REFLEKSI
Tahun 2014 merupakan Semester
pertama saya mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda (PISMP) di
Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Sabah. Transformasi Sejarah Perkembangan
Pendidikan di Malaysia (SJH 3023) merupakan satu daripada khusus yang wajib
saya ambil.
Tuntasnya,
menjadi negara merdeka adalah bukan perkara mudah bagi Malaysia. Hal ini kerana
pelbagai halangan dalaman dan luaran yang perlu ditangani dalam proses membangunkan
negara. Sebagai contoh, masalah dari aspek ekonomi, politik dan sosial. Sebagai
negara yang mempunyai masyarakat majmuk agak sukar untuk mencapai sebulat suara
kerana setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza-beza. Oleh
itu, pelbagai tindakan telah diambil bagi membendung masalah ini.
Antaranya
ialah melalui sistem pendidikan. Sistem pendidikan di negara kita telah melalui
banyak perubahan, iaitu bermulanya sekolah agama dan pondok sehingga beralih ke
sekolah sekular. Tujuan sistem pendidikan ini diwujudkan adalah untuk memupuk
semangat kekitaan dan generasi yang berilmu pengetahuan selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara. Melalui pendidikan, remaja kita terutamanya tidak akan mudah
dipengaruhi anasir-anasir subversif sesuai dengan ungkapan, “Pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara.” Oleh
itu, sistem merupakan satu inisiatif untuk memupuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat yang berbilang bangsa.
Dengan
itu, Laporan Razak 1956 telah diwujudkan dan menjadi titik tolak kepada perkembangan
sistem pendidikan di Malaysia. Sebelum laporan ini diwujudkan, terdapat
beberapa laporan lain juga ditubuhkan seperti Laporan Barnes 1950 dan Laporan
Fen Wu 1951. Namun laporan tersebut telah diubah suai dan diperbaiki kerana
terdapat beberapa perkara yang ditidak dipersetujui ramai. Laporan Razak telah
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan,
mewujudkan sistem peperiksaan yang sama, penyeragaman kurikulum di semua
sekolah dan sekolah kebangsaan. Melalui laporan tersebut, perpaduan dapat
dipupuk dan disemai dalam kalangan kaum.
Tindakan
Allahyarham Tun Abdul Razak bin Putra Al-Haj dalam mewujudkan Laporan Razak
1956 haruslah dipuji kerana melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar
bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan.
Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju
apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk
melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan
Pelajaran 1957. Ini merupakan sejarah Malaya, di mana perancangan pendidikan
dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua
aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya.
Oleh
yang demikian, sistem pendidikan merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk
mewujudkan perpaduan. Sebagai seorang pelajar, adalah penting untuk mendapatkan
pendidikan supaya dapat menjadi seorang yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara. Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha
berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek (JERI).
BIBLIOGRAFI
A.Aziz Deraman, ( 2000 ). Tamadun Melayu dan pembinaan bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, (
2014 ). Hubungan etnik di Malaysia.
Kuala Lumpur: Free Horizons Sdn. Bhd.
Awang Had Salleh (1980). Pendidikan ke arah perpaduan, sebuah
perspektif sejarah. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Haris Md. Jadi, ( 1990 ). Etnik, politik dan pendidikan. Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasnah Hussin & Mardiana Nordin,
(2007). Pengajian Malaysia. Kuala
Lumpur: Percetakan Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
Ismail Said, ( 2010 ). Perkembangan sejarah negara. Selangor
Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Ismail Said, ( 2012 ). Sejarah Malaysia moden. Selangor Darul
Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Jagenmohen, (2010, Februari). Penyata Razak 1956 dan Penyata Barnes 1961.
Dilayari pada 27 Julai 2014 dari
Nadzan Haron & Rozeman Abu Bakar,
(2010). Malaysia melangkah ke hadapan
(pengajian Malaysia sejak 1945). Kuala Lumpur: CIPTA Printing &
Publishing (M) Sdn. Bhd.
P. Sivarajan & S. Malar Arasi, (
2012 ). Sejarah sosio ekonomi Malaysia
sehingga 1970. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Ruslan Zainuddin, ( 2004 ). Sejarah Malaysia. Selangor Darul Ehsan:
Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Shahril @ Charil Marzuki & Habib
Mat Som, ( 1999 ). Isu pendidikan di
Malaysia : Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication &
Distributors Sdn. Bhd.
Shamsul Amri
Baharudin, (2008). Modul hubungan etnik.
Kuala Lumpur: Maskha Sdn. Bhd.
Sufean Hussin,
(2002). Dasar Pembangunan Pendidikan
Malaysia, Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Ibrahim, (
2008 ). Malaysia Kita ( Panduan dan
Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan ). Selangor Darul Ehsan:
International Law Book Services.
Zulhilmi Paidi
& Rohani Abdul Ghani, (2003). Pendidikan
negara bangsa. Kuala Lumpur:
Pencetakan Cergas. Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment