1.0
PENGENALAN
Sejarah
adalah satu disiplin ilmu yang mempunyai fungsi yang sangat penting terutamanya
kepada negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada berbilang keturunan.
Berdasarkan pengetahuan sejarah membolehkan kita mengetahui latar belakang kepada
sesuatu masalah, tindakan dan isu dengan tepat dan benar. Melalui sejarah kita
akan dapat mengetahui dan memahami latar belakang negara Malaysia dan sentiasa
mengambil iktibar daripada peristiwa yang pernah terjadi di negara kita.
Sejarah boleh mengelakkan sikap melampau, dengan kata lain sejarah dapat
memberi panduan dan menjadi guru yang memungkinkan kita terlepas daripada mengulangi
kesilapan yang sama. Sejarah dapat memberi teladan, iktibar, menunjukkan
batasan-batasan kerana melalui sejarah kita belajar daripada contoh-contoh yang
pernah berlaku pada zaman lalu (Zainal Abidin, 1991).
Rentetan
daripada itu, bidang penulisan merupakan salah satu bidang yang penting dalam
disiplin sejarah. Sejak zaman-berzaman, manusia daripada pelbagai tamadun yang
terbesar seperti Islam, China dan Eropah telah menghasilkan penulisan daripada
pelbagai sudut. Orang yang menulis mengenai pensejarahan digelar sejarawan.
Sebagai contoh, sejarawan dalam bidang politik, ekonomi, ketenteraan atau
sosial. Demikian juga bentuk atau hasil penulisan mereka ada yang berupa
sejarah politik, ekonomi, sosial atau ketenteraan. Lazimnya penulisan karya
sejarah dihasilkan mengikut bidang dan kepakaran penyelidik masing-masing
(Mohd. Yusof, 1988).
Tambahan
pula, kedatangan imperialis Barat telah turut memberi kesan kepada perkembangan
pensejarahan yang berjaya memupuk minat kepada masyarakat Melayu untuk meminati dan menyedari kepentingan sejarah.
Ini bermakna bidang penulisan sejarah telah mengalami satu perubahan dan
mendapat satu suntikan baru dengan dapat mempelajari kaedah dan cara penulisan
yang lebih baik. Bermula dari tempoh tersebut telah banyak berlaku perubahan
dalam perkembangan sejarah sebagai satu disiplin ilmu. Realitinya kebanyakan
karya mengenai Malaysia sama ada budaya atau masyarakat-masyarakat ditulis oleh
penulis-penulis Barat.
Oleh yang demikian, tugasan ini akan
membincangkan tujuan dan corak penulisan pensejarahan Malaysia daripada
perspektif penulisan kolonial serta faktor-faktor perubahan penulisan sejarah Malaysia
daripada sentrik Eropah kepada sentri Malaysia. Akhir sekali membuat cadangan
serta rumusan atau refleksi secara keseluruhan terhadap tugasan ini.
2.0
KONSEP
PENSEJARAHAN BARAT
Dari
sudut bahasa, pensejarahan diertikan sebagai karya atau penulisan berkaitan
dengan sejarah, sumber sejarah adalah dokumen atau rekod sama ada dalam bentuk
bertulis mahupun bercetak (Noresah, 2007). Pensejarahan juga dikenali dengan nama
historiogrifi iaitu merujuk kepada hasil-hasil kajian dan penulisan oleh
sejarawan.
Dengan
ini, pensejarahan Barat merujuk kepada penulisan sejarah negara yang dilakukan
oleh penulis Barat berdasarkan konteks pensejarahan Malaysia. Manakala, penulis
Barat pula merupakan pegawai-pegawai berbangsa Eropah dalam kalangan negara
yang pernah menakluki Tanah Melayu seperti Portugis, Belanda dan British (Khoo
Kay Kim, 1975). Sebagai contoh, setelah Portugis menakluki Melaka pada tahun
1511, maka lahirlah beberapa orang
pegawai Portugis yang menulis tentang Tanah Melayu seperti Tome Pires dengan bukunya
yang bertajuk “Suma Oreintal”.
Kemunculan
kuasa kolonial British di Tanah Melayu juga menyumbang dalam penulisan pensejarahan
Barat di Tanah Melayu. Para pegawai British di Tanah Melayu telah bertindak
sebagai seorang orientalis selain daripada menjadi seorang pentadbir di Tanah
Melayu. Berdasarkan
Kamaruddin (2007), minda orientalis dalam kalangan masyarakat berkulit putih
Eropah dan Amerika Utara dibentuk oleh sistem pemikiran, kepercayaan dan ideologi
Barat ketika mereka menjajah kawasan “oriental”. Oriental bermaksud satu
jolokan untuk kawasan Asia termasuklah alam Melayu. Para orientalis Barat dalam
kalangan pegawai kolonial di Tanah Melayu telah memainkan peranan penting
mereka dalam mengkaji dan menyelidik mengenai masyarakat tempatan yang dijajah
mereka dari segi bahasa, budaya, kesusasteraan, cara hidup dan segala macam
yang berkaitan dengan masyarakat tempatan.
Terdapat
beberapa pegawai kolonial British yang memainkan peranan penting dalam mengkaji
dan melakukan penyelidikan mengenai masyarakat tempatan di Tanah Melayu, iaitu
Stamford Raffles, R. O. Winstedt, R. J. Wilkinson, J .M. Gullick dan J. Rigby (Siti Aisyah Binte Mohamed Salim
dan Ungku Maimunah Mohd Tahir, 2014). Namun, W.G Shellabear merupakan satu
daripada mubaligh-mubaligh Kristian yang memainkan peranan penting dalam
menulis hal berkaitan pensejarahan negara kita. Mubaligh ini banyak mengkaji
naskhah-naskhah kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu,
Hikayat Seri Rama dan lain-lain. Kesan daripada kemunculan tokoh penulis Barat
yang menulis berkaitan pensejarahan Malaysia ini telah mewujudkan satu penulisan
sejarah yang bercorak sentrik Eropah dalam pensejarahan negara.
Walaubagaimanapun,
penulisan sejarah terhadap kita tidak terhenti begitu sahaja, malah berkembang
pesat selepas era kemerdekaan oleh ahli akademik Barat yang melakukan kajian
atau penyelidikan yang bersifat ilmiah. Hal ini juga telah memberi kesedaran
kepada sejarawan tempatan untuk menghasilkan buku ilmiah tentang sejarah negara
yang lebih terperinci dengan lebih banyak lagi. Terdapat beberapa buku ilmiah
yang telah dihasilkan oleh ahli akademik Barat, iaitu A.C Milner (1982) dalam
kajiannya iaitu Kerajaan: Malay Politics
on the Eve of Colonial Rule, Carl. A. Trocki dalam penulisannya iaitu Prince of Pirates: The Temenggong
Development of Johor and Singapore 1784-1885, R. Bonney (1974) dalam
penulisannya iaitu Kedah 1771-1821: The Search
for Security and Independence serta Andaya dan Andaya (1982) dalam penulisan
mereka iaitu A History of Malaysia (Khoo
Kay Kim, 1975).
3.0 TUJUAN
PENULISAN KOLONIAL
Terdapat
beberapa tujuan penting dalam penulisan kolonial di Tanah Melayu. Antaranya
ialah:
3.1 Tujuan
Ilmiah
Kemunculan
universiti-universiti sejak era Renaissance di Eropah telah menggalakkan
kegiatan ilmu yang semakin pesat. Perkataan ‘Renaissance’ berasal daripada perkataan Itali, renisciment yang bermaksud “kelahiran semula”. Lantas, kewujudan
institusi-institusi seperti universiti telah menyebabkan masyarakat Eropah
menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan kerana zaman itu menekankan
keupayaan manusia berfikir untuk menyelesaikan masalah. Keupayaan ini juga
telah didorong oleh semangat inkuiri atau semangat ingin tahu yang kuat. Dengan
ini, keperluan ilmiah di negara mereka merupakan satu daripada tujuan penulisan
oleh sebahagian tokoh kolonial di Tanah Melayu. Misalnya, kajian dan penulisan
R. O. Winstedt berkaitan adat menggunakan ilmu hitam atau bomoh di Tanah Melayu
ketika itu adalah untuk memenuhi tesisnya yang bertajuk “Shaman, Siava and Sufi: A Study of The Evolution of Malay Magic” (Kamaruddin, 2007).
Melalui penulisan tersebut, beliau telah dianugerahkan Ijazah DLitt. daripada
Universiti Oxford pada tahun 1920 (Abu Talib Ahmad & Cheah
Boon Kheng 1995).
3.2 Kajian
Terhadap Masyarakat Tempatan
Sejak
era penjajahan di Tanah Melayu, terdapat beberapa orang pegawai kolonial yang cuba
membantu perkembangan pensejarahan di Malaysia dalam merangkumi pelbagai sudut
yang tidak ditekankan dalam pensejarahan tradisional. Sebagai contoh,
kebudayaan, amalan, adat resam dan cara hidup masyarakat di Tanah Melayu ketika
itu. Pada tahun 1887, penulisan jurnal yang melibatkan aspek masyarakat di
Tanah Melayu seperti bahasa, budaya, sejarah dan sebagainya telah dihasilkan
oleh para pegawai kolonial. Jurnal tersebut merupakan jurnal keluaran khas yang
dikenali sebagai Journal of The Royal
Asiatic Society (Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 2010). Antara pegawai kolonial yang banyak menyumbang
kepada kajian terhadap masyarakat tempatan ialah:
a) Stamford Raffles – mengkaji
naskhah undang-undang Melayu;
b) R. O. Winstedt – mengkaji
mengenai masyarakat Melayu berkenaan kegiatan ekonomi, hikayat penglipur lara
dan tatabahasa Melayu;
c) R. J. Wilkilson – mengkaji
masyarakat Sakai, masyarakat Perak dan Undang-undang 99 Perak;
d) J. M. Gullick – menulis
tentang masyarakat tempatan semasa era perjuangan kemerdekaan.
3.3 Memahami
Masyarakat Tempatan
Keinginan
mereka untuk lebih memahami tentang masyarakat tempatan di Tanah Melayu pada
masa itu menyebabkan para pegawai kolonial mengkaji dan menulis berkaitan
dengan penduduk tempatan. Buktinya, R. O. Winstedt telah melakukan pelbagai
kajian tentang kebudayaan dan adat resam masyarakat Melayu di Perak termasuklah
yang melibatkan ritual seperti perbomohan sesuai dengan kedudukannya sebagai
seorang pegawai pendidikan di Tanah Melayu pada ketika itu (Badriyah
dan Liok Ee, 1975).
3.4 Laporan
dan Tujuan Rasmi
Selain
itu, tujuan penulisan kolonial tentang penulisan sejarah Malaysia adalah
sebagai laporan dan utusan rasmi (Muhammad Yusoff Hashim, 1992).
Hal ini kerana setiap perkara atau peristiwa yang berlaku di Tanah Melayu akan
dilaporkan kepada pihak pentadbiran kolonial British. Pejabat Tanah Jajahan
yang terletak di London memerlukan beberapa pegawai kolonial yang bertugas
untuk melaporkan sesuatu peristiwa dan keadaan di Tanah Melayu kepada pegawai atasan. Misalnya, Tok Janggut
di Kelantan dianggap sebagai seorang penderhaka kerana menentang sistem
pentadbiran British dan beberapa tokoh tempatan yang menentang British seperti
Dato’ Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Mat Salleh di Sabah serta Rentap di
Sarawak.
3.5 Mengangkat
Martabat Penjajahan Kolonial di Tanah Melayu
Penulisan
kolonial juga bertujuan untuk mengangkat martabat penjajahan kolonial di Tanah
Melayu. Motif mentamadunkan manusia di Timur merupakan satu alasan penjajahan
orang Eropah ke Timur. Dengan itu, membawa kemodenan dan ketamadunan di Tanah
Melayu dari aspek kemajuan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan lain-lain
adalah untuk membuktikan kehebatan pentadbiran penjajah kolonial. Seterusnya,
mereka akan mencatat setiap kejayaan dan pencapaian yang telah berjaya
dilaksanakan oleh pentadbiran mereka dalam penulisan sejarah secara terperinci
supaya dapat mengangkat martabat bangsa Inggeris sebagai bangsa paling
bertamadun dan berkuasa di dunia pada ketika itu. Buktinya dapat dilihat
melalui penulisan Frank Swettenham (1907) dalam buku “British Malaya” yang menggambarkan cara dan tindakan beliau cuba
menunjukkan kemampuan pentadbiran kolonial di bawah beliau sebagai Gabenor di Negeri-negeri
Melayu Bersekutu (NNMB) pada waktu tersebut (Hazman, 2013).
3.6 Straits Branch of Royal Asiatic Society
(SBRAS)
Sebuah
pertubuhan yang bernama Straits Branch of
Royal Asiatic Society telah ditubuhkan oleh pegawai kolonial di
Negeri-negeri Selat (NNS) semasa pentadbiran kolonial di Singapura. Matlamat
pertubuhan ini diwujudkan adalah untuk mengumpul segala maklumat yang berkaitan
dengan Negeri-negeri Selat dan negeri-negeri Melayu sekitarnya sebagai dokumentasi
dan penyelidikan terhadap masyarakat serta segala hal yang berkait dengan Tanah
Melayu. Kini, SBRAS merupakan pertubuhan yang aktif menerbitkan jurnal berkaitan
sejarah dan informasi berkaitan dengan Malaysia dan kini dikenali sebagai The Malaysian Branch of Royal Asiatic Society
(MBRAS) (Malaysian
Branch of the Royal Asiatic Society, 2010).
4.0 CORAK
PENULISAN PENSEJARAHAN KOLONIAL
Corak
penulisan sejarah Malaysia berdasarkan perspektif Barat adalah bersifat sentrik
Eropah. Antara ciri-ciri corak penulisan pensejarahan kolonial termasuklah:
4.1 Unsur
Bias
Para
pegawai yang menulis pensejarahan kolonial di Tanah Melayu cenderung untuk
melakukan penulisan yang dilihat bias terhadap pentadbiran kolonial yang dianggap
sebagai membawa pelbagai perubahan di Tanah Melayu. Hal ini kerana kebanyakan penyelidik
dan penulis kepada pensejarahan kolonial di Tanah Melayu adalah terdiri
daripada pegawai British (Khoo Kay Kim, 1975).
Unsur
ini juga dapat dilihat melalui pengadilan moral ke atas tokoh-tokoh pejuang
tempatan dalam penulisan pensejarahan kolonial. Para pejuang tempatan seperti
Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau di
Pahang dan lain-lain yang menentang pentadbiran kolonial British di Tanah Melayu
dianggap sebagai penderhaka kerana kononnya menentang Sultan mereka sendiri
walhal para pejuang tersebut menentang British dan bukannya Sultan mereka. Oleh
itu, apabila munculnya penulisan sejarah yang bersentrikkan tempatan, baharulah
para penentang British ini diangkat sebagai para pejuang.
4.2 Prinsip
atau Kepercayaan yang Dianggap Benar
Menurut
Kamaruddin (2007), pegawai-pegawai British di Tanah Melayu telah didoktrinkan
dengan satu bentuk pemikiran, pandangan, penulisan, pemikiran dan penelitian
yang direka bentuk oleh pelbagai institusi pendidikan dan latihan bagi pegawai
awam dan swasta kolonial. Tanggapan rasmi, formal dan peribadi tentang betapa
rendahnya martabat masyarakat dan budaya peribumi berbanding ketinggian dan
martabat masyarakat dan budaya Barat adalah prinsip yang dipegang oleh setiap
pegawai kolonial di Tanah Melayu. Oleh itu, tidak hairanlah jika penelitian dan
tulisan mereka akan mewakili sudut pandang dan kepentingan kuasa kolonial serta
mereka tidak perlu sensitif pada sudut pandang dan kepentingan masyarakat
tempatan.
4.3 Sistem
Perundangan Berasaskan Barat
J. Rigby
yang mengkaji Undang-undang 99 Perak dan R. J. Wilkinson yang mengkaji Undang-undang
Adat Perpatih dan Temenggung menolak undang-undang Melayu seperti Undang-undang
99 Perak dan beberapa yang lain sebagai sebuah undang-undang lengkap seperti ‘legal code’ dalam perundangan Barat. Mereka
berpendapat bahawa undang-undang adat di Tanah Melayu hanya bersifat ‘digest’ atau ringkasan terhadap sebuah
perundangan yang boleh diterima pakai seperti di Barat. Hal ini jelas
menunjukkan bagaimana para penulis kolonial cuba melihat undang-undang adat di
Tanah Melayu dari sudut perundangan kolonial sedangkan perkara ini adalah
berbeza sama sekali (Jelani, 2008).
Selain
itu, pegawai British seperti Frank Swettenhem (1907) juga ingin mengangkat
kejayaan pentadbiran kolonial di Tanah Melayu. Beliau telah menghasilkan buku
yang bertajuk “British Malaya” dan menceritakan
sebahagian pengalamannya sebagai pegawai dan Gabenor di Negeri-negeri Melayu
Bersekutu (NNMB) serta kejayaan campur tangan British di negeri-negeri Melayu.
4.4 Menolak
Unsur Mitos
Penulisan
sentrik Eropah dalam kalangan pegawai British dapat dilihat melalui ulasan R. O.
Winstedt terhadap Hikayat Hang Tuah. Kewujudan Hang Tuah sebagai seorang
Laksamana di Istana Melaka ditolak oleh beliau. Hal ini kerana beliau beranggapan
kewujudan pengaruh sastera panji (epik Jawa) dalam Hikayat Hang Tuah menjadikan
watak Hang Tuah tidak lebih daripada sekadar mitos seperti epik-epik Hindu-Jawa
yang lainnya (Muhammad Yusoff Hashim, 1992).
4.5 Penggunaan
Tarikh dan Kronologi
Dalam
penulisan sejarah kolonial, penggunaan tarikh adalah amat penting dan tarikh adalah
merupakan sebahagian daripada fakta sejarah (Hazman Azhar, 2013).
5.0 PERUBAHAN PENSEJARAHAN MALAYSIA DARIPADA
KONSEP SENTRIK EROPAH KEPADA SENTRIK MALAYSIA
Sejak
era penaklukan orang Eropah ke Timur, pensejarahan orang di Timur kebanyakan
dipengaruhi dengan rangka kerja kolonial seperti yang berlaku di Tanah Melayu.
Dalam kata lain, rangka kerja tersebut dikenali sebagai sentrik Eropah atau “European Centric”. Secara amnya, sentrik
dikatakan sebagai satu pandangan, kecenderungan atau pendekatan yang tertumpu
kepada sesuatu perkara atau objek. Sentrik merupakan satu unsur yang boleh
digunakan dalam bentuk pendekatan atau tema yang diutamakan dalam sesuatu
penulisan sejarah. Sebagai contoh, sentrik subjek terdiri daripada penulisan
tentang politik, ekonomi sosial dan sebagainya. Manakala, penulisan yang
bersentrikkan negeri atau kaum adalah seperti Barat sentrik, Malaysia sentrik
dan sebagainya (Zainal Abidin, 1991).
Lantas, penulisan sejarah Malaysia
yang berunsur sentrik Malaysia bermaksud bahawa sejarah Malaysia yang
dihasilkan itu ditulis dengan memberikan penumpuan kepada perlakuan orang
Malaysia sendiri. Oleh itu, konsep sentrik Malaysia adalah berbeza dengan pensejarahan
Malaysia yang menggunakan konsep sentrik Eropah. Hal ini kerana sentrik Eropah lebih
mengutamakan seseorang tokoh atau segala kepentingan pihak Barat seperti sumbangan
positif pihak kolonial kepada masyarakat di Tanah Melayu. Suatu perubahan telah
berlaku terhadap pensejarahan Malaysia kerana penulisan yang menggunakan
prinsip barat ini sering sahaja merendahkan ketepatan sejarah tradisional (Zainal
Abidin, 1991).
5.1 Faktor-faktor
Perubahan
Terdapat
beberapa faktor yang membawa perubahan pensejarahan Malaysia daripada konsep
sentrik Eropah kepada sentrik Malaysia. Antaranya ialah:
5.1.1 Timbul
Kesedaran
Sejak
timbulnya kesedaran tentang kepentingan penulisan semula sejarah Malaysia dalam
kalangan penulis tempatan banyak kritikan dilemparkan terhadap golongan penulis
yang bersifat sentrik Eropah. Hal ini kerana penulisan yang bersifat sentrik
Eropah lebih mengutamakan penulisan tentang politik dan ekonomi sesebuah negeri
berbanding dengan penulisan yang bersifat sentrik Malaysia yang lebih
menumpukan terhadap persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kemasyarakatan.
Walaubagaimanapun,
terdapat penulis Barat yang menyeru agar bahan-bahan tempatan digunakan dalam
penulisan sejarah Malaysia. Sebagai contoh, Sir Frank Swethenham melalui karyanya
yang berjudul British Malaya (1906) yang
menggunakan pendekatan sentrik Eropah. Namun, judul buku tersebut sudah memberi
gambaran tentang isi kandungan, idea utama atau temanya yang sudah pasti tidak
lari dari menghuraikan peranan dan kejayaan pihak kolonial British di Tanah
Melayu. Walhal mereka sebenarnya cuba menonjolkan kehebatan sistem pentadbiran
kolonial kepada masyarakat (Khoo Kay Kim, 1980).
5.1.2 Kritikan
Terhadap Pensejarahan Tradisional
Faktor
perubahan penulisan sejarah moden bersentrik Malaysia adalah disebabkan
kritikan terhadap pensejarahan tradisional yang banyak mengagung-agungkan kaum
kerabat golongan pembesar semata-mata. Contohnya, Ibrahim Yaakob yang telah
berjaya mengangkat konsep "Melayu Raya" di dalam bukunya yang
berjudul “Melihat Tanah Air”. Beliau dengan tidak segan silu mengkritik sikap golongan
elit Melayu yang tidak mahu mengikut arus perkembangan perasaan orang-orang
Melayu pada itu. Oleh yang demkikan, penulisan sejarah moden Tanah Melayu mulai
mengambil kira aspek-aspek luar daripada kepompong istana dengan memasukkan
unsur-unsur ekonomi dan sosial dalam kalangan masyarakat (Khoo Kay Kim, 1980).
5.1.3 Sikap
Bias Dalam Pensejarahan Malaysia
Penulisan
sentrik Malaysia banyak menggunakan sumber tempatan dan tafsirannya dilakukan
menurut kaca mata tempatan dengan menumpukan kepada perlakuan orang-orang
tempatan berdasarkan fakta-fakta tempatan. Manakala, penulisan sentrik Eropah
pula adalah berdasarkan kepada sumber mengenai aktiviti-aktiviti pihak barat
yang mudah diperoleh sebagai rujukan. la juga bersifat menyentuh tempat atau
kawasan-kawasan tertentu yang berkepentingan kepada kerajaan kolonial. Kebanyakan
hasil tulisan adalah berbentuk laporan rasmi atau penulisan yang mempunyai
tujuan rasmi semasa penjajahan British di Tanah Melayu. Teks sejarah yang
dihasilkan biasanya terlalu bias kepada pihak kerajaan iaitu pihak British. Contohnya,
segala peristiwa-peristiwa perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh tempatan
pada zaman itu di gelar sebagai penderhaka atau pemberontak seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman
Limbong di Terengganu, Mat Kilau di Pahang dan lain-lain yang menentang
pentadbiran kolonial British di Tanah Melayu (Khoo Kay Kim, 1980).
5.1.4 Kebangkitan
Semangat Nasionalisme
Penulisan
sejarah Malaysia adalah bertujuan untuk membangkitkan semangat nasionalisme
dalam kalangan rakyat. Dengan itu, penulisan sentrik Malaysia telah
mengagungkan perjuangan tokoh-tokoh tempatan yang telah bangkit menentang
British dan menjadikan mereka sebagai wira dalam memerdekakan negara. Buktinya,
Abdul Hadi Hassan yang terkenal sebagai seorang pejuang kebangsaan Melayu telah
memainkan peranan dalam menyalakan perasaan cintakan bangsa dan nusa di kalangan
penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Hasil tulisannya diterbitkan dan
dijadikan sebagai buku teks di sekolah aliran Melayu 1950-an. Keadaan ini telah
menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penulis sentrik Eropah kerana takut
segala usaha dan tindakan yang dilakukan oleh pihak kolonial adalah negatif
bagi masyarakat di Tanah Melayu.
5.1.5 Perbezaan
Pendekatan Yang Digunakan
Berdasaran
Zainal Abidin (1991), orang Eropah telah diajar dan dibesarkan oleh tradisi,
budaya, nilai dan norma-norma masyarakat Barat. Pegangan atau prinsip inilah
yang telah mempengaruhi tindakan penulis kolonial untuk tidak meletakkan
penghargaan terhadap sejarah Malaysia. Malah, pendekatan yang digunakan dalam
menulis sejarah Malaysia adalah berbeza dari konsep sentrik Eropah dan sentrik
Malaysia. Namun, kebanyakan penulis tempatan yang menulis mengenai sejarah
Malaysia dipengaruhi oleh pendekatan sentrik Eropah kerana teknik, tema dan
metodologi penulisan sejarah yang digunakan oleh penulis tempatan diperoleh
daripada ilmu Barat.
5.1.6 Kesediaan
Sumber Rujukan
Seterusnya,
kita harus mengakui bahawa penulisan sejarah Malaysia secara keseluruhan dan
berterusan sebenarnya masih belum pernah wujud dalam erti kata yang sebenarnya.
Hal ini kerana penulisan sejarah Malaysia adalah bersifat topikal iaitu hanya
menyentuh sesuatu tempoh atau sesuatu kawasan tertentu sahaja. Faktor kesediaan sumber rujukan adalah punca
berlakunya perkara ini. Rekod dan data mengenai aktiviti kolonial dikatakan
lebih banyak dan mudah diperoleh berbanding dengan sumber tempatan yang terhad
serta kurang nilai sejarahnya. Oleh itu, penulisan sejarah moden telah muncul akibat perkembangan
rasional dan objektif menurut pemikiran seseorang sejarawan (Khoo Kay Kim,
1980).
5.1.7 Sikap
Kritis
Sikap
kritis yang wujud telah menyebabkan timbulnya keinginan untuk menulis atau
mencatatkan sesuatu perkara atau peristiwa berdasarkan kepada apa yang sebenarnya
berlaku. Penulisan pada peringkat pra-Perang Dunia Kedua yang bersifat sentrik
Eropah muncul akibat kedatangan pihak kolonial untuk meluaskan kawasan tanah
jajahan adalah bertujuan untuk melicinkan serta memudahkan segala urusan
pentadbiran penjajah serta untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin
kedudukan mereka sebagai penjajah di Tanah Melayu (Khoo Kay Kim, 1980).
5.1.8 Perubahan
Masyarakat, Ekonomi dan Politik
Faktor
lain yang mewujudkan penulisan sejarah berbentuk tempatan atau asia sentrik
sebenarnya ialah faktor perubahan masyarakat, ekonomi dan politik seperti yang berlaku di Malaysia
khususnya selepas Perang Dunia Kedua. Pasca Perang Dunia Kedua telah membentuk
satu perubahan besar dalam penulisan sejarah Malaysia. Contohnya, perkembangan
politik dan nasionalisme pada ketika itu telah menyebabkan sejarawan di Asia
Tenggara meluaskan kajian dan penyelidikan mereka kepada teknik-teknik
penulisan barat dan maju dalam penulisan sejarah berbentuk moden (Khoo Kay Kim,
1980).
5.1.9 Faktor
Penjajah
Perkembangan
politik dalam kalangan penduduk Tanah Melayu telah digalakkan pada zaman
pendudukan Jepun. Kemudian, timbul kesedaran nasionalisme yang kuat dalam
kalangan masyarakat tempatan untuk menentang penjajah. Untuk mewujudkan penulisan
yang bersifat Malaysia sentrik sebenarnya boleh dikaitkan dengan keperluan bagi
membina negara bangsa berikutan kemerdekaan yang baru dicapai. Oleh itu,
penulisan tempatan sentrik adalah lebih berorientasikan kepada budaya ketimuran,
berdasarkan aktiviti masyarakat peribumi dan tempatan, melihat tindakan yang dilakukan
dan dialami oleh orang-orang tempatan serta tindakan dan reaksi mereka terhadap
kuasa pihak kolonial (Khoo Kay Kim, 1980).
RUMUSAN
Tuntasnya,
sejarah merupakan satu medium penting dalam memupuk perpaduan dalam kalangan
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Sejarah juga mampu membantu kita
sebagai rakyat Malaysia mengelak daripada mengulangi kesilapan yang sama.
Contohnya, penjajahan kuasa asing ke atas tanah air kita sendiri. Dengan ini,
bidang penulisan sejarah adalah satu daripada aspek yang dapat membantu kita
dalam mencari fakta yang betul dan sahih.
Penulisan sejarah negara dari
perspektif kolonial banyak memaparkan kehebatan yang dimiliki oleh pihak
kolonial dari segi pentadbiran. Kehebatan yang ditonjolkan oleh pihak kolonial
akan mengukuhkan dan mengagungkan martabat orang Eropah di mata dunia. Justeru,
martabat masyarakat Timur khususnya di Tanah Melayu akan dipandang rendah oleh
masyarakat lain.
Oleh yang demikian, penulis sejarah
tempatan bangkit untuk mengubah dan menulis semula sejarah negara mengikut
perspektif sentrik Malaysia. Terdapat beberapa faktor seperti timbul kesedaran,
kebangkitan semangat nasionalisme, kesediaan bahan rujukan dan lain-lain telah
mempengaruhi perubahan pensejarahan Malaysia daripada konsep sentrik Eropah
kepada sentrik Malaysia.
REFLEKSI
Bersyukur
ke hadrat Ilahi kerana saya dapat menyiapkan tugasan ini dalam masa yang telah
ditetapkan. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada .............................................. atas
sokongan dan bimbingan dalam pelaksanaan tugasan ini.
Berdasarkan tugasan ini, saya
berpendapat bahawa sejarah merupakan suatu peristiwa yang telah berlaku pada
masa lampau dan menceritakan jatuh bangun sesebuah tamadun. Sebagai rakyat
Malaysia, adalah penting bagi saya mengetahui latar belakang dan cerita sebenar
di sebalik usaha membangunkan dan memerdekakan negara Malaysia. Dengan ini, saya
perlu melakukan penyelidikan tentang penulisan sejarah Malaysia.
Namun, kebanyakan penulisan sejarah
Malaysia ditulis oleh pegawai kolonial dan bersifat sentrik Eropah.
Persoalannya, adakah pensejarahan Malaysia dari aspek penulisan kolonial ini memberikan
kesan yang positif atau negatif terhadap masyarakat di Malaysia? Tugasan ini
mendedahkan sifat dan sikap sebenar pihak kolonial pada masa lalu. Buktinya,
mereka hanya ingin menonjolkan kehebatan mereka dan menindas serta merendahkan
martabat masyarakat kawasan taklukannya seperti di Tanah Melayu.
Kemudian, saya amat terpegun dengan
usaha penulis tempatan yang berusaha menulis semula sejarah Malaysia mengikut
perspektif tempatan. Hal ini menunjukkan penulis tempatan sedar akan
kepentingan mewujudkan penulisan sejarah berasaskan pandangan masyarakat
tempatan. Dengan ini, kehebatan dan keunggulan yang terdapat di Malaysia
khususnya dapat ditonjolkan kepada masyarakat luar dari pelbagai aspek. Oleh
itu, masyarakat luar tidak lagi memandang rendah akan masyarakat Malaysia akibat
penulisan sejarah yang bersifat sentrik Eropah.
Seterusnya,
sebagai seorang penulis sejarah negara, kita mestilah bersifat jujur dalam
melaksanakan tugas supaya tidak bersifat bias. Penulisan sejarah seharusnya
dinilai melalui pelbagai aspek dan tidak hanya mementingkan beberapa aspek
tertentu. Contohnya, pihak kolonial hanya mementingkan kehebatannya dalam
sistem pentadbiran. Begitu juga dengan penulis tempatan ketika dahulu yang
hanya mengagungkan kaum kerabat istana sahaja.
Walaubagaimanapun,
pensejarahan dari aspek kolonial juga memainkan peranan penting dalam
pensejarahan Malaysia. Hal ini kerana ia telah menjadi bahan rujukan, mempunyai
bilangan yang banyak serta mudah diperoleh dalam membuat kajian tentang sejarah
Malaysia. Dengan ini, penulis sejarah tempatan tidak akan lari daripada membuat rujukan berdasarkan
pensejarahan negara yang bersifat sentrik Eropah.
Akhir
sekali, saya berharap suatu hari nanti saya boleh menjadi salah seorang yang
mengkaji dan menulis tentang sejarah pembentukan Malaysia. Melalui tugasan ini,
saya mendapati penulisan sejarah yang bermutu mestilah mengambil kira
pandangan daripada kedua-dua pihak
seperti pihak kolonial dan penulis tempatan. Lantas, sebuah penulisan sejarah
yang mantap akan dapat dihasilkan.
RUJUKAN
1. Buku
Abu Talib Ahmad & Cheah Boon Kheng. (1995).
Isu-isu pensejarahan: Esei penghargaan
kepada Dr. R. Suntharalingam. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Badriyah Haji Salleh Dan Liok Ee. (1975). Alam pensejarahan dan pelbagai perspektif.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Khoo Kay Kim. (1975). Pensejarahan Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Mohd. Yusof Ibrahim. (1971). Pengertian sejarah. Kuala Lumpur:
Penerbit Fajar Bakti.
Mohd Yusof Ibrahim. (2000). Ilmu sejarah: Falsafah, pengertian dan kaedah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Putaka.
Muhammad Yusoff Hashim. (1992). Pensejarahan Melayu: Kajian tentang tradisi
sejarah Melayu nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Haji Yahaya.
(1988). Sejarawan dan pensejarahan:
Ketokohan dan karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noresah binti Baharom. (2007). Kamus dewan (Edisi keempat). Kuala
lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Internet
Hazman Azhar. (2013). Nota SJH3102 Bab5 Pensejarahan Perspektif Kolonial. Dilayari pada
10.09.2014 dari http://www.scribd.com/doc/141465970/Nota-SJH3102-Bab5-Pensejarahan-Perspektif-Kolonial
Hazman Azhar. (2013). Nota SJH3102 Bab6 Persoalan Malaysia Sentrik. Dilayari pada
10.09.2014 dari http://www.scribd.com/doc/141618899/Nota-SJH3102-Bab-6-Persoalan-Malaysia-Sentrik
Muhd Yusof Ibrahim. (1998). Kesultanan melayu Melaka 1400 (?) - 151l: Pensejarahan
dan kesejarahan. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1719/1/MDSS_1998_Bil.26_1.pdf
Zainal Abidin bin Abdul Wahid. (1991). Sejarah
Malaysia: pentafsiran dan penulisan. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://library.perdana.org.my/Digital_Content/NLM/Batch4/DVD02/27-10/M959.5ZAISejarahMalaysiaPentafsirandanPenulisan%5BZainalAbidinbinAbdulWahid%5D.pdf
3. Jurnal
Khoo Kay Kim. (1980). Pensejarahan Melayu Yang
bersifat Perjuangan Sebelum Dan sesudah Merdeka. JEBAT, Bil. 10
Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.
(2010). Journal of The Straits Branch of
The Royal Asiatic Society July 1878. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://www.mbras.org.my/journal.html
Nadzan Harun. Suatu pandangan awal terhadap
sejarah lisan dalam konteks pengkajian sejarah Malaysia. Dilayari pada
10.09.2104 dari http://journalarticle.ukm.my/520/1/1.pdf
Siti Aisyah Binte Mohamed Salim & Ungku
Maimunah Mohd Tahir. (2014). Membaca perwatakan Stamford Raffles menggunakan
pensejarahan baru: Analisis dua teks. Jurnal
Melayu Jilid 12(1), ms 1-13.
No comments:
Post a Comment