Friday, January 16, 2015

CONTOH TUGASAN TRANSFORMASI SEJARAH PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA (SJH3023)

1.0      PENGENALAN

Apa yang selalu diwarisi oleh negara-negara yang telah dijajah ialah satu sistem pendidikan yang tidak memenuhi keperluan dan kehendak negara itu dengan sepenuhnya. Negara-negara yang baru merdeka telah tidak teragak-agak untuk mencari satu sistem pendidikan yang pada pendapat mereka sesuai dengan kemajuan dan keadaan negara mereka sendiri.

Di Malaysia, proses mencari satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi kehendak-kehendak rakyat dan keperluan negara bermula dengan Laporan Razak (1956). Laporan Razak 1956 merupakan cadangan-cadangan yang dibuat oleh satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pendidikan 1956 yang ditubuhkan oleh kerajaan sementara Parti Perikatan yang memerintah Tanah Melayu pada ketika itu.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada bulan September 1955 dan dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak bin Haji Hussein, Menteri Pendidikan ketika itu. Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab berat untuk melakukan reformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan dan dasar-dasar yang dicadangkannya merupakan dasar-dasar reformasi pendidikan.

Jawatankuasa ini, dalam laporannya menyatakan bahawa "tujuan dasar pendidikan di dalam negara ini adalah untuk menyatukan budak-budak daripada semua bangsa dalam negara ini dengan menggunakan satu peraturan pendidikan yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dengan cara beransur-ansur". Kenyataan ini membayangkan kepentingan cara hidup demokrasi dengan sikap tolak ansur dan mendukung semangat perpaduan kaum.

2.0      ISI KANDUNGAN LAPORAN RAZAK

Cadangan-cadangan yang terkandung di dalam Laporan Razak 1956 adalah seperti berikut :
i.       Untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, semua murid dalam semua jenis sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan wajib mempelajari Bahasa Melayu. Murid-murid pada tahun akhir sekolah rendah wajib lulus Bahasa Melayu untuk menaiki sekolah menengah, dan wajib lulus juga mata pelajaran tersebut dalam peperiksaan menengah rendah dan menengah atas.

ii.      Untuk meningkatkan kualiti pengajaran Bahasa Melayu, sebuah institut bahasa wajar dibina oleh kerajaan bagi mengeluarkan guru-guru bahasa Melayu yang terlatih dan pakar, dan bagi menjalankan kajian bagi perkembangan bahasa Melayu. Selain itu, kerajaan wajar membina satu agensi sastera untuk menerbitkan bahan-bahan pendidikan dan bacaan dalam bahasa Melayu.

iii.    Untuk memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kelulusan dalam bahasa Melayu perlu untuk memperoleh jawatan dalam perkhidmatan kerajaan, mendapat biasiswa kerajaan, dan untuk memasuki maktab-maktab perguruan.

iv.    Pengarah Pendidikan hendaklah memastikan bahawa mutu pembelajaran bahasa Melayu dipertingkatkan di sekolah-sekolah menengah dan bahasa itu wajib menjadi mata pelajaran prinsipal dalam Sijil Tinggi Persekolahan. Tambahan lagi, tabung khas mesti diwujudkan di universiti untuk pengajian bahasa Melayu.

v.      Sekolah-sekolah rendah kebangsaan ditubuhkan dan ditaja oleh kerajaan, dan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah berkenaan. Sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Inggeris, Cina dan Tamil terus kekal dengan bahasa pengantar masing-masing. Memandangkan bilangan pendaftaran murid akan bertambah, maka langkah wajar perlu dibuat oleh kerajaan adalah membina maktab-maktab perguruan bagi mengeluarkan tenaga kerja guru terlatih yang mencukupi.

vi.    Semua sekolah rendah dan menengah kerajaan dan bantuan kerajaan mesti menggunakan satu sukatan pelajaran dan peperiksaan yang standard. Geran kewangan untuk sekolah-sekolah adalah pada kadar seragam.

vii.   Saiz sesuatu sekolah sewajarnya tidak melebihi 600 orang murid dalam 15-16 buah bilik darjah, dan saiz sesuatu kelas tidak melebihi 40 orang murid.

viii.  Menteri Pendidikan bertanggungjawab terhadap dasar-dasar pendidikan dalam Persekutuan Tanah Melayu, sekolah-sekolah menengah, latihan guru, pendidikan teknik dan perdagangan, peperiksaan, dan geran kewangan yang disalurkan kepada kerajaan negeri dan penguasa pelajaran setempat untuk pendidikan rendah.

ix.    Peruntukan undang-undang diadakan untuk menubuhkan Jemaah Pengelola bagi semua sekolah rendah dan menengah.

x.      Satu badan bebas Jemaah Nazir diwujudkan untuk menyelia sekolah-sekolah, dan jemaah melaporkan terus dan beberapa tanggungjawab kepada Menteri Pendidikan dalam menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Nazir mempunyai hak untuk melawat mana-mana sekolah tajaan kerajaan, tetapi tidak ada kuasa untuk mengeluarkan arahan atau perintah kepada kakitangan sekolah.

xi.    Satu latihan guru bersepadu diwujudkan untuk menyeragamkan latihan guru di maktab-maktab perguruan, dan diadakan juga satu skim gaji yang seragam untuk guru-guru berdasarkan kelayakan atau merit, dan mereka boleh diserapkan ke jawatan pentadbiran dan jawatan nazir.

xii.   Dicadangkan ada peraturan dan syarat seragam tentang kemasukan murid, kelas ulangan, pembuangan, dan had umur murid di sekolah rendah.

xiii.  Pembelajaran bahasa Inggeris wajib di sekolah-sekolah rendah.

xiv.  Kursus sekolah menengah adalah dalam tempoh 5-6 tahun, yang membolehkan pelajar mendapatkan pekerjaan selepas mereka tamat atau boleh meneruskan pelajaran ke peringkat lepas menengah. Pendidikan menengah terbahagi kepada tiga jenis, iaitu pendidikan akademik, pendidikan vokasional, dan pendidikan teknik.

xv.   Sekolah menengah bertujuan melatih rakyat yang berupaya bekerja dan rakyat Malaya yang taat serta menggalakkan perkembangan budaya, bahasa dan kemasyarakatan. Untuk tujuan itu, hanya satu jenis sekolah menengah perlu ada agar semua pelajar lulus peperiksaan yang sama, walaupun ada fleksibiliti dalam kurikulum untuk pembelajaran beberapa bahasa dan budaya.

xvi.  Pembelajaran bahasa Melayu dan Inggeris adalah wajib untuk semua murid sekolah menengah.

xvii.Dicadangkan ada peperiksaan saringan masuk ke sekolah menengah pada akhir pengajian sekolah rendah, peperiksaan menengah rendah selepas tiga tahun belajar di menengah rendah, dan peperiksaan Sijil Persekolahan Cambridge pada akhir lima tahun menengah.

xviii. Pendidikan pasca menengah terus dikekalkan untuk membolehkan pelajar-pelajar terbaik belajar dari guru-guru berkaliber untuk bersedia memasuki Universiti Malaya atau universiti luar negara.

xix.  Pendidikan lanjutan atau pendidikan separuh masa diadakan untuk orang dewasa atau orang yang tercicir daripada pendidikan rendah. Kelas-kelas untuk mereka itu diadakan pada waktu petang atau malam. Kelas perdagangan diadakan oleh kerajaan tempatan untuk orang yang tamat pengajian rendah dan bahasa pengantarnya dalam bahasa Melayu atau bahasa lain.

xx.   Pendidikan teknik diadakan oleh maktab teknik atau institut teknik. Maktab teknik untuk pelajar yang telah tamat dan lulus menengah atas, dan institut teknik untuk pelajar-pelajar teknik yang telah tamat dan lulus tiga tahun menengah rendah.

Tujuan utama laporan ini adalah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah. Dengan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Jawatankuasa Razak mengharapkan agar perpaduan antara kaum di Tanah Melayu dapat dieratkan lagi.

Laporan Razak ini juga bertujuan untuk mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Selain itu, kewujudan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan merupakan tujuan lain Laporan Razak tersebut diwujudkan. Tujuan ini berkeupayaan melahirkan masyarakat yang bertoleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan progresif serta berkeupayaan memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.

Laporan Razak telah diluluskan pada April 1957 dan dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Pelaksanaan perlakuan Jawatankuasa Razak ini agak berjaya dalam semua hal.

3.0 PENGARUH LAPORAN RAZAK KE ATAS PERPADUAN PELBAGAI ETNIK DI MALAYSIA

Perpaduan didefinisikan sebagai satu proses menyatupadukan seluruh masyarakat agar dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga terhadap tanah air. Menyedari akan wujudnya kesan negatif semasa pemerintahan British di Tanah Melayu yang memecahbelahkan perpaduan kaum, maka satu penyeragaman untuk membaiki hubungan antara kaum perlu dilakukan dengan segera.

Malaysia yang merupakan sebuah negara yang kompleks, bukan sahaja daripada struktur pemerintahannya malah dari segi penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh yang demikian, tindakan bagi mencapai perpaduan yang harmoni dan tahap kerjasama yang erat antara masyarakat berbilang bangsa adalah amat penting.

Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan dalam sebuah negara adalah menerusi pendidikan. Pendidikan merupakan alat penting bagi menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda terutamanya pelajar sekolah. Perpaduan melalui pendidikan hanya dapat dicapai menerusi sistem persekolahan dengan kurikulum yang seragam untuk semua kaum. Di samping sistem pendidikan di peringkat sekolah, dasar pendidikan pada peringkat maktab dan universiti perlu dirangka untuk mencapai perpaduan yang lebih kukuh.

Pengenalan Laporan Razak yang mempunyai matlamat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia melalui sistem pendidikan telah mula dilaksanakan. Menerusi laporan ini, perpaduan dapat disemai dalam kalangan para pelajar. Laporan ini juga merupakan daya penggerak untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berdisiplin.

Di Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari. Cabaran yang dihadapi oleh masyarakat telah mendorong pihak kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan melalui pendidikan. Pihak kerajaan telah mewujudkan sistem persekolahan yang sama bagi semua kaum.

3.1      Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar

Pada asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan sekolah-sekolah jenis umum menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan jelas dinyatakan melalui objektifnya iaitu untuk mencapai perpaduan melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar amat berkait rapat dengan usaha pembinaan negara bangsa. Bahasa Melayu digunakan untuk membantu mewujudkan perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan dalam komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat yang mempunyai pelbagai dialek. Dengan menguasai penggunaan bahasa Melayu yang betul, individu akan lebih mudah menerima maklumat yang ingin disampaikan oleh individu lain meskipun terdiri daripada etnik yang berbeza.

Selain itu, bahasa Melayu juga dapat membantu pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penggunaan bahasa Melayu tidak menimbulkan isu penghapusan penggunaan bahasa Cina dana bahasa Tamil dalam usaha memelihara perpaduan kaum yang ingin dicapai. Namun begitu, di sekolah menengah penggunaan bahasa Melayu dipraktikkan dengan tujuan memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan pelajar sekolah.

Di samping itu, penggunaan bahasa Melayu mampu mewujudkan perhubungan dan persefahaman antara kaum tanpa menimbulkan rasa curiga daripada mana-mana pihak. Langkah tersebut akan mempercepatkan lagi perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini. Kesan daripada objektif Laporan Razak yang memberi keutamaan kepada penggunaan bahasa Melayu telah menyebabkan penekanan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan diperkuatkan dan dijalankan dengan cara yang lebih berkesan selepas tragedi kaum 1969.

Hari berganti hari, penggunaan bahasa Melayu semkain meluas dan majoriti rakyat Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Kini, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar utama di semua peringkat sekolah. Hal ini membuktikan bahawa melalui penggunaan satu bahasa sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dan sukatan pelajaran mampu membentuk perpaduan yang telah dihasratkan oleh pihak kerajaan Malaysia.

Tanpa penggunaan dan pengenalan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kebangsaan sudah pasti proses mewujudkan masyarakat yang bersatu padu tidak mampu diwujudkan kerana tunjang dan asasnya yang tiada. Hal ini demikian kerana sebelum pengenalan Laporan Razak, masyarakat pelbagai kaum lebih selesa melakukan tugas sendiri tanpa mempedulikan kaum lain. Bukan itu sahaja, malah tidak wujud komunikasi antara satu sama lain akibat kesukaran memahami bahasa yang digunakan oleh sesuatu kaum yang berbeza.  Oleh hal yang demikian Laporan Razak telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan sehingga kini dan bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.

3.2      Penyeragaman Kurikulum Di Semua Sekolah

Kurikulum adalah satu rancangan pendidikan yang mengandungi segala ilmu pengetahuan serta kemahiran, nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah menjadi pilihan masyarakat untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Peranan kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan negara pada masa akan datang.

Pada zaman pemerintahan British, pihak kerajaan British sengaja mengasingkan kaum Melayu, Cina dan India dalam kawasan yang berbeza dan sistem pendidikan yang berbeza untuk mewujudkan jurang yang amat besar dalam kalangan mereka. Masyarakat Cina dan India yang merupakan kaum pendatang pada ketika itu diberikan pendidikan berdasarkan sukatan pelajaran nehara China dan India sehingga tidak wujud semangat patriotik dan munculnya sifat prejudis antara kaum.

Sekolah-sekolah yang diwujudkan pada zaman pemerintahan British adalah mengikut kaum masing-masing, tiada bahasa pengantar yang tunggal, kedudukan geografi yang berbeza serta kurikulum yang tidak sehala telah menghadkan pergaulan antara pelajar sekolah. Pihak British tidak menitikberatkan objektif perpaduan dalam sistem pendidikan. Kewujudan sistem pendidikan pelbagai kaum telah menghasilkan benih perpecahan, malah tidak wujud perkongsian dan persamaan antara kaum di Tanah Melayu. Laporan Razak telah berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum ini melalui kurikulum seragam yang dibina dalam usaha mendukung cita-cita negara mewujudkan perpaduan berdasarkan Rukun Negara sehingga ke hari ini.

Kurikulum dan perpaduan kebangsaan mempunyai hubungan yang sangat rapat. Selain daripada memberi ilmu pengetahuan, kurikulum mampu membentuk keperibadian dan perwatakan pelajar yang baik dan boleh membawa kepada lahirnya sikap toleransi  dan perpaduan antara mereka. Pelajar daripada pelbagai kaum mengikuti kurikulum seragam melalui sukatan mata pelajaran yang sama kandungannya, kegiatan luar bilik darjah dan pengambilan peperiksaan awam yang sama.

Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya yang disyorkan oleh Penyata Razak dianggap sebagai salah satu asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara. Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting dalam usaha mencapai matlamat pembangunan. Melalui pelajaran Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat-menghormati terutamanya dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan adat resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan setiap kaum di Malaysia hampir sama dan tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.

Oleh hal yang demikian, para pelajar lebih terbuka dalam memahami kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini iaitu Malaysia. Para pelajar daripada semua kaum diberi pendidikan berdasarkan kurikulum seragam yang berfokuskan Tanah Melayu. Melalui kurikulum yang seragam ini, lepasan sekolah kebangsaan memliki pengalaman sekolah yang sama, menerima jenis pendidikan yang sama dan mempunyai orientasi serta pandangan dunia yang sama.

Usaha menyeragamkan kurikulum ini telah berjaya melahirkan semangat patriotik yang tinggi terhadap Tanah Melayu. Sikap saling bertolak ansur dan memahami kehidupan pelbagai kaum serta pemahaman bahawa perkongsian dalam negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum adalah sangat diperluan bagi menjamin keamanan dan kestabilan negara yang tercinta ini.

3.3      Sekolah Kebangsaan

Laporan Razak telah mencadangkan penubuhan sekolah kebangsaan bagi menggalakkan penyatuan pelbagai jenis kaum dalam satu sekolah seterusnya mencapai objektif yang telah digariskan dalam laporan Razak iaitu mencapai perpaduan kaum. Situasi tersebut mampu membantu perpaduan kaum apabila pelajar mula bersahabat dan melakukan aktiviti bersama di bawah satu bumbung dan menggunakan semua kemudahan sekolah yang sama tanpa sebarang diskriminasi.

Penubuhan sekolah kebangsaan telah memudahkan para pelajar memahami adat, budaya, pemikiran dan perkara-perkara yang sensitif yang tidak boleh dipermainkan dan diungkit dalam sesebuah kaum. Bukan itu sahaja, malah para pelajar juga dapat memupuk semangat kekitaan antara satu sama lain meskipun mempunyai latar belakang keturunan yang pelbagai.

Sekolah kebangsaan terbahagi kepada dua iaitu sekolah rendah dan menengah. Sekolah rendah pula dibahagikan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar. Di sekolah tersebut, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan mata pelajaran yang wajib dipelajari oleh semua pelajar tanpa terkecuali. Murid yang berketurunan Cina dan Tamil di sekolah aliran Inggeris diberi peluang mempelajari bahasa ibundanya jika terdapat 15 orang atau lebih pelajar yang ingin belajar. Guru-gurunya pula mestilah mempunyai Sijil Sekolah Menengah Rendah dan mendapat latihan sepenuh masa setahun dan separuh masa dua tahun.

Sekolah menengah pula dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu sekolah menengah rendah (3 tahun), sekolah menengah atas (2 tahun) dan pra - U (2 tahun). Satu jenis sekolah menengah sahaja yang menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib. Sekolah ini terbuka kepada semua kaum dan menggunakan sukatan mata pelajaran yang sama. Bagi memasuki sekolah menengah, pelajar haruslah lulus peperiksaan yang melayakkan mereka memasuki sekolah menengah.

3.4      Sistem Peperiksaan Yang Sama

Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, pelajaran para pelajar tidaklah terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama. Kini,  dasar pendidikan yang dilaksanakan oleh kerajaan menampakkan hasilnya. Pendidikan menjadi alat membentuk perpaduan kaum.

Sistem peperiksaan di sekolah menengah rendah mempunyai dua peringkat penting untuk melayakkan mereka meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi iaitu di sekolah menengah atas. Sebelum memasuki sekolah menengah atas, pelajar akan menduduki peperiksaan di peringkat Tingkatan 3 ( peperiksaan bersama) dan haruslah lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP/LCE). Di peringkat sekolah menengah atas, mereka akan menduduki peperiksaan bersama di Tingkatan 5 untuk memperoleh Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf dengan Cambridge Overseas Certificate.

Setelah lulus di peringkat sekolah menengah atas, pelajar boleh melanjutkan pengajian di peringkat Pra - U. Peperiksaan di Pra - U tahun kedua adalah untuk memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran (SP/HSC) untuk memasuki universiti. Sistem peperiksaan menunjukkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran yang diambil di peringkat yang lebih rendah untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

RUMUSAN

Laporan Razak ini telah membina satu struktur sistem pendidikan Malaysia yang lebih sistematik, demokratik dan relevan dengan masyarakat negara ini berbanding dengan sistem pendidikan kolonial Inggeris yang menekankan keagungan Barat dan agama Kristian dalam kurikulumnya.

Kebanyakan orang percaya bahawa sistem pendidikan berfungsi sebagai agen penyebaran ilmu semata-mata, yang tidak terpengaruh dengan urusan politik, tetapi ini bukanlah hakikat sebenarnya kerana dasar, matlamat dan kurikulum sentiasa terpengaruh dengan perkembangan politik dan aspirasi masyarakat.

Pendidikan juga terpengaruh dengan keperluan pembangunan sosial dan kesejahteraan hidup rakyat. Laporan Razak, sebagai contoh amat menitikberatkan peranan pendidikan dalam pembangunan sosial. Beberapa cadangan di dalam Laporan Razak secara jelasnya mengetengahkan usaha agar perpaduan etnik di Tanah Melayu pada ketika itu dapat dijana sekali gus dikekalkan. Hasilnya, perpaduan antara kaum di negara ini sangat ketara dan memberikan sumbangan besar dalam memajukan negara.

Tuntasnya, Laporan Razak telah memberikan sumbangan besar terhadap bidang pendidikan serta pembangunan negara. Cadangan-cadangan di dalam Laporan Razak telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan di dalam sistem pendidikan di Malaysia pasca merdeka dan sebahagian besarnya masih dikekalkan sehingga kini. Sudah terang lagi bersuluh, Laporan Razak ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan perpaduan antara kaum sentiasa terjalin. Dengan bertunjangkan perpaduan rakyat berbilang kaum akhirnya Malaysia kini gah berdiri di persada dunia.

REFLEKSI

Tahun 2014 merupakan Semester pertama saya mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau, Sabah. Transformasi Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia (SJH 3023) merupakan satu daripada khusus yang wajib saya ambil.

Tuntasnya, menjadi negara merdeka adalah bukan perkara mudah bagi Malaysia. Hal ini kerana pelbagai halangan dalaman dan luaran yang perlu ditangani dalam proses membangunkan negara. Sebagai contoh, masalah dari aspek ekonomi, politik dan sosial. Sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk agak sukar untuk mencapai sebulat suara kerana setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza-beza. Oleh itu, pelbagai tindakan telah diambil bagi membendung masalah ini.

Antaranya ialah melalui sistem pendidikan. Sistem pendidikan di negara kita telah melalui banyak perubahan, iaitu bermulanya sekolah agama dan pondok sehingga beralih ke sekolah sekular. Tujuan sistem pendidikan ini diwujudkan adalah untuk memupuk semangat kekitaan dan generasi yang berilmu pengetahuan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Melalui pendidikan, remaja kita terutamanya tidak akan mudah dipengaruhi anasir-anasir subversif sesuai dengan ungkapan, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.Oleh itu, sistem merupakan satu inisiatif untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.

Dengan itu, Laporan Razak 1956 telah diwujudkan dan menjadi titik tolak kepada perkembangan sistem pendidikan di Malaysia. Sebelum laporan ini diwujudkan, terdapat beberapa laporan lain juga ditubuhkan seperti Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fen Wu 1951. Namun laporan tersebut telah diubah suai dan diperbaiki kerana terdapat beberapa perkara yang ditidak dipersetujui ramai. Laporan Razak telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa kebangsaan, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama, penyeragaman kurikulum di semua sekolah dan sekolah kebangsaan. Melalui laporan tersebut, perpaduan dapat dipupuk dan disemai dalam kalangan kaum.

Tindakan Allahyarham Tun Abdul Razak bin Putra Al-Haj dalam mewujudkan Laporan Razak 1956 haruslah dipuji kerana melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957. Ini merupakan sejarah Malaya, di mana perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat Malaya serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan Malaya.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan. Sebagai seorang pelajar, adalah penting untuk mendapatkan pendidikan supaya dapat menjadi seorang yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).


BIBLIOGRAFI

A.Aziz Deraman, ( 2000 ). Tamadun Melayu dan pembinaan bangsa Malaysia. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka

Ahmad Ali Seman & Warti Kimi, ( 2014 ). Hubungan etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Free Horizons Sdn. Bhd.

Awang Had Salleh (1980). Pendidikan ke arah perpaduan, sebuah perspektif sejarah. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Haris Md. Jadi, ( 1990 ). Etnik, politik dan pendidikan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hasnah Hussin & Mardiana Nordin, (2007). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur:  Percetakan Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Ismail Said, ( 2010 ). Perkembangan sejarah negara. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Ismail Said, ( 2012 ). Sejarah Malaysia moden. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Jagenmohen, (2010, Februari). Penyata Razak 1956 dan Penyata Barnes 1961. Dilayari pada 27 Julai 2014 dari

Nadzan Haron & Rozeman Abu Bakar, (2010). Malaysia melangkah ke hadapan (pengajian Malaysia sejak 1945). Kuala Lumpur: CIPTA Printing & Publishing (M) Sdn. Bhd.

P. Sivarajan & S. Malar Arasi, ( 2012 ). Sejarah sosio ekonomi Malaysia sehingga 1970. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Ruslan Zainuddin, ( 2004 ). Sejarah Malaysia. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som, ( 1999 ). Isu pendidikan di Malaysia : Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Shamsul Amri Baharudin, (2008). Modul hubungan etnik. Kuala Lumpur: Maskha Sdn. Bhd.

Sufean Hussin, (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia, Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Ibrahim, ( 2008 ). Malaysia Kita ( Panduan dan Rujukan untuk Peperiksaan Am Kerajaan ). Selangor Darul Ehsan: International Law Book Services.

Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani, (2003). Pendidikan negara bangsa. Kuala           Lumpur: Pencetakan Cergas. Sdn. Bhd.










CONTOH TUGASAN PENSEJARAHAN MALAYSIA (SJH 3013)

1.0         PENGENALAN

Sejarah adalah satu disiplin ilmu yang mempunyai fungsi yang sangat penting terutamanya kepada negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada berbilang keturunan. Berdasarkan pengetahuan sejarah membolehkan kita mengetahui latar belakang kepada sesuatu masalah, tindakan dan isu dengan tepat dan benar. Melalui sejarah kita akan dapat mengetahui dan memahami latar belakang negara Malaysia dan sentiasa mengambil iktibar daripada peristiwa yang pernah terjadi di negara kita. Sejarah boleh mengelakkan sikap melampau, dengan kata lain sejarah dapat memberi panduan dan menjadi guru yang memungkinkan kita terlepas daripada mengulangi kesilapan yang sama. Sejarah dapat memberi teladan, iktibar, menunjukkan batasan-batasan kerana melalui sejarah kita belajar daripada contoh-contoh yang pernah berlaku pada zaman lalu (Zainal Abidin, 1991).

Rentetan daripada itu, bidang penulisan merupakan salah satu bidang yang penting dalam disiplin sejarah. Sejak zaman-berzaman, manusia daripada pelbagai tamadun yang terbesar seperti Islam, China dan Eropah telah menghasilkan penulisan daripada pelbagai sudut. Orang yang menulis mengenai pensejarahan digelar sejarawan. Sebagai contoh, sejarawan dalam bidang politik, ekonomi, ketenteraan atau sosial. Demikian juga bentuk atau hasil penulisan mereka ada yang berupa sejarah politik, ekonomi, sosial atau ketenteraan. Lazimnya penulisan karya sejarah dihasilkan mengikut bidang dan kepakaran penyelidik masing-masing (Mohd. Yusof, 1988).

Tambahan pula, kedatangan imperialis Barat telah turut memberi kesan kepada perkembangan pensejarahan yang berjaya memupuk minat kepada masyarakat Melayu untuk  meminati dan menyedari kepentingan sejarah. Ini bermakna bidang penulisan sejarah telah mengalami satu perubahan dan mendapat satu suntikan baru dengan dapat mempelajari kaedah dan cara penulisan yang lebih baik. Bermula dari tempoh tersebut telah banyak berlaku perubahan dalam perkembangan sejarah sebagai satu disiplin ilmu. Realitinya kebanyakan karya mengenai Malaysia sama ada budaya atau masyarakat-masyarakat ditulis oleh penulis-penulis Barat.

            Oleh yang demikian, tugasan ini akan membincangkan tujuan dan corak penulisan pensejarahan Malaysia daripada perspektif penulisan kolonial serta faktor-faktor perubahan penulisan sejarah Malaysia daripada sentrik Eropah kepada sentri Malaysia. Akhir sekali membuat cadangan serta rumusan atau refleksi secara keseluruhan terhadap tugasan ini.

2.0         KONSEP PENSEJARAHAN BARAT

Dari sudut bahasa, pensejarahan diertikan sebagai karya atau penulisan berkaitan dengan sejarah, sumber sejarah adalah dokumen atau rekod sama ada dalam bentuk bertulis mahupun bercetak (Noresah, 2007).  Pensejarahan juga dikenali dengan nama historiogrifi iaitu merujuk kepada hasil-hasil kajian dan penulisan oleh sejarawan.

Dengan ini, pensejarahan Barat merujuk kepada penulisan sejarah negara yang dilakukan oleh penulis Barat berdasarkan konteks pensejarahan Malaysia. Manakala, penulis Barat pula merupakan pegawai-pegawai berbangsa Eropah dalam kalangan negara yang pernah menakluki Tanah Melayu seperti Portugis, Belanda dan British (Khoo Kay Kim, 1975). Sebagai contoh, setelah Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511, maka  lahirlah beberapa orang pegawai Portugis yang menulis tentang Tanah Melayu seperti Tome Pires dengan bukunya yang bertajuk “Suma Oreintal”.

Kemunculan kuasa kolonial British di Tanah Melayu juga menyumbang dalam penulisan pensejarahan Barat di Tanah Melayu. Para pegawai British di Tanah Melayu telah bertindak sebagai seorang orientalis selain daripada menjadi seorang pentadbir di Tanah Melayu. Berdasarkan Kamaruddin (2007), minda orientalis dalam kalangan masyarakat berkulit putih Eropah dan Amerika Utara dibentuk oleh sistem pemikiran, kepercayaan dan ideologi Barat ketika mereka menjajah kawasan “oriental”. Oriental bermaksud satu jolokan untuk kawasan Asia termasuklah alam Melayu. Para orientalis Barat dalam kalangan pegawai kolonial di Tanah Melayu telah memainkan peranan penting mereka dalam mengkaji dan menyelidik mengenai masyarakat tempatan yang dijajah mereka dari segi bahasa, budaya, kesusasteraan, cara hidup dan segala macam yang berkaitan dengan masyarakat tempatan.

Terdapat beberapa pegawai kolonial British yang memainkan peranan penting dalam mengkaji dan melakukan penyelidikan mengenai masyarakat tempatan di Tanah Melayu, iaitu Stamford Raffles, R. O. Winstedt, R. J. Wilkinson, J .M. Gullick  dan J. Rigby (Siti Aisyah Binte Mohamed Salim dan Ungku Maimunah Mohd Tahir, 2014). Namun, W.G Shellabear merupakan satu daripada mubaligh-mubaligh Kristian yang memainkan peranan penting dalam menulis hal berkaitan pensejarahan negara kita. Mubaligh ini banyak mengkaji naskhah-naskhah kesusasteraan Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Seri Rama dan lain-lain. Kesan daripada kemunculan tokoh penulis Barat yang menulis berkaitan pensejarahan Malaysia ini telah mewujudkan satu penulisan sejarah yang bercorak sentrik Eropah dalam pensejarahan negara.

Walaubagaimanapun, penulisan sejarah terhadap kita tidak terhenti begitu sahaja, malah berkembang pesat selepas era kemerdekaan oleh ahli akademik Barat yang melakukan kajian atau penyelidikan yang bersifat ilmiah. Hal ini juga telah memberi kesedaran kepada sejarawan tempatan untuk menghasilkan buku ilmiah tentang sejarah negara yang lebih terperinci dengan lebih banyak lagi. Terdapat beberapa buku ilmiah yang telah dihasilkan oleh ahli akademik Barat, iaitu A.C Milner (1982) dalam kajiannya iaitu Kerajaan: Malay Politics on the Eve of Colonial Rule, Carl. A. Trocki dalam penulisannya iaitu Prince of Pirates: The Temenggong Development of Johor and Singapore 1784-1885, R. Bonney (1974) dalam penulisannya iaitu Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence serta Andaya dan Andaya (1982) dalam penulisan mereka iaitu A History of Malaysia (Khoo Kay Kim, 1975).

3.0      TUJUAN PENULISAN KOLONIAL

Terdapat beberapa tujuan penting dalam penulisan kolonial di Tanah Melayu. Antaranya ialah:

3.1      Tujuan Ilmiah

Kemunculan universiti-universiti sejak era Renaissance di Eropah telah menggalakkan kegiatan ilmu yang semakin pesat. Perkataan ‘Renaissance’ berasal daripada perkataan Itali, renisciment yang bermaksud “kelahiran semula”. Lantas, kewujudan institusi-institusi seperti universiti telah menyebabkan masyarakat Eropah menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan kerana zaman itu menekankan keupayaan manusia berfikir untuk menyelesaikan masalah. Keupayaan ini juga telah didorong oleh semangat inkuiri atau semangat ingin tahu yang kuat. Dengan ini, keperluan ilmiah di negara mereka merupakan satu daripada tujuan penulisan oleh sebahagian tokoh kolonial di Tanah Melayu. Misalnya, kajian dan penulisan R. O. Winstedt berkaitan adat menggunakan ilmu hitam atau bomoh di Tanah Melayu ketika itu adalah untuk memenuhi tesisnya yang bertajuk “Shaman, Siava and Sufi: A Study of The Evolution  of Malay Magic” (Kamaruddin, 2007). Melalui penulisan tersebut, beliau telah dianugerahkan Ijazah DLitt. daripada Universiti Oxford pada tahun 1920 (Abu Talib Ahmad & Cheah Boon Kheng 1995).

3.2      Kajian Terhadap Masyarakat Tempatan

Sejak era penjajahan di Tanah Melayu, terdapat beberapa orang pegawai kolonial yang cuba membantu perkembangan pensejarahan di Malaysia dalam merangkumi pelbagai sudut yang tidak ditekankan dalam pensejarahan tradisional. Sebagai contoh, kebudayaan, amalan, adat resam dan cara hidup masyarakat di Tanah Melayu ketika itu. Pada tahun 1887, penulisan jurnal yang melibatkan aspek masyarakat di Tanah Melayu seperti bahasa, budaya, sejarah dan sebagainya telah dihasilkan oleh para pegawai kolonial. Jurnal tersebut merupakan jurnal keluaran khas yang dikenali sebagai Journal of The Royal Asiatic Society (Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 2010).  Antara pegawai kolonial yang banyak menyumbang kepada kajian terhadap masyarakat tempatan ialah:

a)    Stamford Raffles – mengkaji naskhah undang-undang Melayu;
b)    R. O. Winstedt – mengkaji mengenai masyarakat Melayu berkenaan kegiatan ekonomi, hikayat penglipur lara dan tatabahasa Melayu;
c)    R. J. Wilkilson – mengkaji masyarakat Sakai, masyarakat Perak dan Undang-undang 99 Perak;
d)    J. M. Gullick – menulis tentang masyarakat tempatan semasa era perjuangan kemerdekaan.

3.3      Memahami Masyarakat Tempatan

Keinginan mereka untuk lebih memahami tentang masyarakat tempatan di Tanah Melayu pada masa itu menyebabkan para pegawai kolonial mengkaji dan menulis berkaitan dengan penduduk tempatan. Buktinya, R. O. Winstedt telah melakukan pelbagai kajian tentang kebudayaan dan adat resam masyarakat Melayu di Perak termasuklah yang melibatkan ritual seperti perbomohan sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang pegawai pendidikan di Tanah Melayu pada ketika itu (Badriyah dan Liok Ee, 1975).

3.4      Laporan dan Tujuan Rasmi

Selain itu, tujuan penulisan kolonial tentang penulisan sejarah Malaysia adalah sebagai laporan dan utusan rasmi (Muhammad Yusoff Hashim, 1992). Hal ini kerana setiap perkara atau peristiwa yang berlaku di Tanah Melayu akan dilaporkan kepada pihak pentadbiran kolonial British. Pejabat Tanah Jajahan yang terletak di London memerlukan beberapa pegawai kolonial yang bertugas untuk melaporkan sesuatu peristiwa dan keadaan di Tanah Melayu  kepada pegawai atasan. Misalnya, Tok Janggut di Kelantan dianggap sebagai seorang penderhaka kerana menentang sistem pentadbiran British dan beberapa tokoh tempatan yang menentang British seperti Dato’ Bahaman dan Mat Kilau di Pahang, Mat Salleh di Sabah serta Rentap di Sarawak.

3.5      Mengangkat Martabat Penjajahan Kolonial di Tanah Melayu

Penulisan kolonial juga bertujuan untuk mengangkat martabat penjajahan kolonial di Tanah Melayu. Motif mentamadunkan manusia di Timur merupakan satu alasan penjajahan orang Eropah ke Timur. Dengan itu, membawa kemodenan dan ketamadunan di Tanah Melayu dari aspek kemajuan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan lain-lain adalah untuk membuktikan kehebatan pentadbiran penjajah kolonial. Seterusnya, mereka akan mencatat setiap kejayaan dan pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan oleh pentadbiran mereka dalam penulisan sejarah secara terperinci supaya dapat mengangkat martabat bangsa Inggeris sebagai bangsa paling bertamadun dan berkuasa di dunia pada ketika itu. Buktinya dapat dilihat melalui penulisan Frank Swettenham (1907) dalam buku “British Malaya” yang menggambarkan cara dan tindakan beliau cuba menunjukkan kemampuan pentadbiran kolonial di bawah beliau sebagai Gabenor di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) pada waktu tersebut (Hazman, 2013).

3.6      Straits Branch of Royal Asiatic Society (SBRAS)

Sebuah pertubuhan yang bernama Straits Branch of Royal Asiatic Society telah ditubuhkan oleh pegawai kolonial di Negeri-negeri Selat (NNS) semasa pentadbiran kolonial di Singapura. Matlamat pertubuhan ini diwujudkan adalah untuk mengumpul segala maklumat yang berkaitan dengan Negeri-negeri Selat dan negeri-negeri Melayu sekitarnya sebagai dokumentasi dan penyelidikan terhadap masyarakat serta segala hal yang berkait dengan Tanah Melayu. Kini, SBRAS merupakan pertubuhan yang aktif menerbitkan jurnal berkaitan sejarah dan informasi berkaitan dengan Malaysia dan kini dikenali sebagai The Malaysian Branch of Royal Asiatic Society (MBRAS) (Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 2010).

4.0      CORAK PENULISAN PENSEJARAHAN KOLONIAL

Corak penulisan sejarah Malaysia berdasarkan perspektif Barat adalah bersifat sentrik Eropah. Antara ciri-ciri corak penulisan pensejarahan kolonial termasuklah:

4.1      Unsur Bias

Para pegawai yang menulis pensejarahan kolonial di Tanah Melayu cenderung untuk melakukan penulisan yang dilihat bias terhadap pentadbiran kolonial yang dianggap sebagai membawa pelbagai perubahan di Tanah Melayu. Hal ini kerana kebanyakan penyelidik dan penulis kepada pensejarahan kolonial di Tanah Melayu adalah terdiri daripada pegawai British (Khoo Kay Kim, 1975).

Unsur ini juga dapat dilihat melalui pengadilan moral ke atas tokoh-tokoh pejuang tempatan dalam penulisan pensejarahan kolonial. Para pejuang tempatan seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau di Pahang dan lain-lain yang menentang pentadbiran kolonial British di Tanah Melayu dianggap sebagai penderhaka kerana kononnya menentang Sultan mereka sendiri walhal para pejuang tersebut menentang British dan bukannya Sultan mereka. Oleh itu, apabila munculnya penulisan sejarah yang bersentrikkan tempatan, baharulah para penentang British ini diangkat sebagai para pejuang.

4.2      Prinsip atau Kepercayaan yang Dianggap Benar

Menurut Kamaruddin (2007), pegawai-pegawai British di Tanah Melayu telah didoktrinkan dengan satu bentuk pemikiran, pandangan, penulisan, pemikiran dan penelitian yang direka bentuk oleh pelbagai institusi pendidikan dan latihan bagi pegawai awam dan swasta kolonial. Tanggapan rasmi, formal dan peribadi tentang betapa rendahnya martabat masyarakat dan budaya peribumi berbanding ketinggian dan martabat masyarakat dan budaya Barat adalah prinsip yang dipegang oleh setiap pegawai kolonial di Tanah Melayu. Oleh itu, tidak hairanlah jika penelitian dan tulisan mereka akan mewakili sudut pandang dan kepentingan kuasa kolonial serta mereka tidak perlu sensitif pada sudut pandang dan kepentingan masyarakat tempatan.

4.3      Sistem Perundangan Berasaskan Barat

J. Rigby yang mengkaji Undang-undang 99 Perak dan R. J. Wilkinson yang mengkaji Undang-undang Adat Perpatih dan Temenggung menolak undang-undang Melayu seperti Undang-undang 99 Perak dan beberapa yang lain sebagai sebuah undang-undang lengkap seperti ‘legal code’ dalam perundangan Barat. Mereka berpendapat bahawa undang-undang adat di Tanah Melayu hanya bersifat ‘digest’ atau ringkasan terhadap sebuah perundangan yang boleh diterima pakai seperti di Barat. Hal ini jelas menunjukkan bagaimana para penulis kolonial cuba melihat undang-undang adat di Tanah Melayu dari sudut perundangan kolonial sedangkan perkara ini adalah berbeza sama sekali (Jelani, 2008).

Selain itu, pegawai British seperti Frank Swettenhem (1907) juga ingin mengangkat kejayaan pentadbiran kolonial di Tanah Melayu. Beliau telah menghasilkan buku yang bertajuk “British Malaya” dan menceritakan sebahagian pengalamannya sebagai pegawai dan Gabenor di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) serta kejayaan campur tangan British di negeri-negeri Melayu.

4.4      Menolak Unsur Mitos

Penulisan sentrik Eropah dalam kalangan pegawai British dapat dilihat melalui ulasan R. O. Winstedt terhadap Hikayat Hang Tuah. Kewujudan Hang Tuah sebagai seorang Laksamana di Istana Melaka ditolak oleh beliau. Hal ini kerana beliau beranggapan kewujudan pengaruh sastera panji (epik Jawa) dalam Hikayat Hang Tuah menjadikan watak Hang Tuah tidak lebih daripada sekadar mitos seperti epik-epik Hindu-Jawa yang lainnya (Muhammad Yusoff Hashim, 1992).

4.5      Penggunaan Tarikh dan Kronologi

Dalam penulisan sejarah kolonial, penggunaan tarikh adalah amat penting dan tarikh adalah merupakan sebahagian daripada fakta sejarah (Hazman Azhar, 2013).

5.0  PERUBAHAN PENSEJARAHAN MALAYSIA DARIPADA KONSEP SENTRIK EROPAH KEPADA SENTRIK MALAYSIA

Sejak era penaklukan orang Eropah ke Timur, pensejarahan orang di Timur kebanyakan dipengaruhi dengan rangka kerja kolonial seperti yang berlaku di Tanah Melayu. Dalam kata lain, rangka kerja tersebut dikenali sebagai sentrik Eropah atau “European Centric”. Secara amnya, sentrik dikatakan sebagai satu pandangan, kecenderungan atau pendekatan yang tertumpu kepada sesuatu perkara atau objek. Sentrik merupakan satu unsur yang boleh digunakan dalam bentuk pendekatan atau tema yang diutamakan dalam sesuatu penulisan sejarah. Sebagai contoh, sentrik subjek terdiri daripada penulisan tentang politik, ekonomi sosial dan sebagainya. Manakala, penulisan yang bersentrikkan negeri atau kaum adalah seperti Barat sentrik, Malaysia sentrik dan sebagainya (Zainal Abidin, 1991).

            Lantas, penulisan sejarah Malaysia yang berunsur sentrik Malaysia bermaksud bahawa sejarah Malaysia yang dihasilkan itu ditulis dengan memberikan penumpuan kepada perlakuan orang Malaysia sendiri. Oleh itu, konsep sentrik Malaysia adalah berbeza dengan pensejarahan Malaysia yang menggunakan konsep sentrik Eropah. Hal ini kerana sentrik Eropah lebih mengutamakan seseorang tokoh atau segala kepentingan pihak Barat seperti sumbangan positif pihak kolonial kepada masyarakat di Tanah Melayu. Suatu perubahan telah berlaku terhadap pensejarahan Malaysia kerana penulisan yang menggunakan prinsip barat ini sering sahaja merendahkan ketepatan sejarah tradisional (Zainal Abidin, 1991).

5.1      Faktor-faktor Perubahan

Terdapat beberapa faktor yang membawa perubahan pensejarahan Malaysia daripada konsep sentrik Eropah kepada sentrik Malaysia. Antaranya ialah:

5.1.1   Timbul Kesedaran

Sejak timbulnya kesedaran tentang kepentingan penulisan semula sejarah Malaysia dalam kalangan penulis tempatan banyak kritikan dilemparkan terhadap golongan penulis yang bersifat sentrik Eropah. Hal ini kerana penulisan yang bersifat sentrik Eropah lebih mengutamakan penulisan tentang politik dan ekonomi sesebuah negeri berbanding dengan penulisan yang bersifat sentrik Malaysia yang lebih menumpukan terhadap persoalan-persoalan yang berkaitan dengan kemasyarakatan.

Walaubagaimanapun, terdapat penulis Barat yang menyeru agar bahan-bahan tempatan digunakan dalam penulisan sejarah Malaysia. Sebagai contoh, Sir Frank Swethenham melalui karyanya yang berjudul British Malaya (1906) yang menggunakan pendekatan sentrik Eropah. Namun, judul buku tersebut sudah memberi gambaran tentang isi kandungan, idea utama atau temanya yang sudah pasti tidak lari dari menghuraikan peranan dan kejayaan pihak kolonial British di Tanah Melayu. Walhal mereka sebenarnya cuba menonjolkan kehebatan sistem pentadbiran kolonial kepada masyarakat (Khoo Kay Kim, 1980).

5.1.2   Kritikan Terhadap Pensejarahan Tradisional

Faktor perubahan penulisan sejarah moden bersentrik Malaysia adalah disebabkan kritikan terhadap pensejarahan tradisional yang banyak mengagung-agungkan kaum kerabat golongan pembesar semata-mata. Contohnya, Ibrahim Yaakob yang telah berjaya mengangkat konsep "Melayu Raya" di dalam bukunya yang berjudul “Melihat Tanah Air”. Beliau dengan tidak segan silu mengkritik sikap golongan elit Melayu yang tidak mahu mengikut arus perkembangan perasaan orang-orang Melayu pada itu. Oleh yang demkikan, penulisan sejarah moden Tanah Melayu mulai mengambil kira aspek-aspek luar daripada kepompong istana dengan memasukkan unsur-unsur ekonomi dan sosial dalam kalangan masyarakat (Khoo Kay Kim, 1980).

5.1.3   Sikap Bias Dalam Pensejarahan Malaysia

Penulisan sentrik Malaysia banyak menggunakan sumber tempatan dan tafsirannya dilakukan menurut kaca mata tempatan dengan menumpukan kepada perlakuan orang-orang tempatan berdasarkan fakta-fakta tempatan. Manakala, penulisan sentrik Eropah pula adalah berdasarkan kepada sumber mengenai aktiviti-aktiviti pihak barat yang mudah diperoleh sebagai rujukan. la juga bersifat menyentuh tempat atau kawasan-kawasan tertentu yang berkepentingan kepada kerajaan kolonial. Kebanyakan hasil tulisan adalah berbentuk laporan rasmi atau penulisan yang mempunyai tujuan rasmi semasa penjajahan British di Tanah Melayu. Teks sejarah yang dihasilkan biasanya terlalu bias kepada pihak kerajaan iaitu pihak British. Contohnya, segala peristiwa-peristiwa perjuangan kemerdekaan oleh tokoh-tokoh tempatan pada zaman itu di gelar sebagai penderhaka atau pemberontak seperti  Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau di Pahang dan lain-lain yang menentang pentadbiran kolonial British di Tanah Melayu (Khoo Kay Kim, 1980).

5.1.4   Kebangkitan Semangat Nasionalisme

Penulisan sejarah Malaysia adalah bertujuan untuk membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat. Dengan itu, penulisan sentrik Malaysia telah mengagungkan perjuangan tokoh-tokoh tempatan yang telah bangkit menentang British dan menjadikan mereka sebagai wira dalam memerdekakan negara. Buktinya, Abdul Hadi Hassan yang terkenal sebagai seorang pejuang kebangsaan Melayu telah memainkan peranan dalam menyalakan perasaan cintakan bangsa dan nusa di kalangan penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Hasil tulisannya diterbitkan dan dijadikan sebagai buku teks di sekolah aliran Melayu 1950-an. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penulis sentrik Eropah kerana takut segala usaha dan tindakan yang dilakukan oleh pihak kolonial adalah negatif bagi masyarakat di Tanah Melayu.

5.1.5   Perbezaan Pendekatan Yang Digunakan

Berdasaran Zainal Abidin (1991), orang Eropah telah diajar dan dibesarkan oleh tradisi, budaya, nilai dan norma-norma masyarakat Barat. Pegangan atau prinsip inilah yang telah mempengaruhi tindakan penulis kolonial untuk tidak meletakkan penghargaan terhadap sejarah Malaysia. Malah, pendekatan yang digunakan dalam menulis sejarah Malaysia adalah berbeza dari konsep sentrik Eropah dan sentrik Malaysia. Namun, kebanyakan penulis tempatan yang menulis mengenai sejarah Malaysia dipengaruhi oleh pendekatan sentrik Eropah kerana teknik, tema dan metodologi penulisan sejarah yang digunakan oleh penulis tempatan diperoleh daripada ilmu Barat.

5.1.6   Kesediaan Sumber Rujukan

Seterusnya, kita harus mengakui bahawa penulisan sejarah Malaysia secara keseluruhan dan berterusan sebenarnya masih belum pernah wujud dalam erti kata yang sebenarnya. Hal ini kerana penulisan sejarah Malaysia adalah bersifat topikal iaitu hanya menyentuh sesuatu tempoh atau sesuatu kawasan tertentu sahaja. Faktor  kesediaan sumber rujukan adalah punca berlakunya perkara ini. Rekod dan data mengenai aktiviti kolonial dikatakan lebih banyak dan mudah diperoleh berbanding dengan sumber tempatan yang terhad serta kurang nilai sejarahnya. Oleh itu,  penulisan sejarah moden telah muncul akibat perkembangan rasional dan objektif menurut pemikiran seseorang sejarawan (Khoo Kay Kim, 1980).

5.1.7   Sikap Kritis

Sikap kritis yang wujud telah menyebabkan timbulnya keinginan untuk menulis atau mencatatkan sesuatu perkara atau peristiwa berdasarkan kepada apa yang sebenarnya berlaku. Penulisan pada peringkat pra-Perang Dunia Kedua yang bersifat sentrik Eropah muncul akibat kedatangan pihak kolonial untuk meluaskan kawasan tanah jajahan adalah bertujuan untuk melicinkan serta memudahkan segala urusan pentadbiran penjajah serta untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin kedudukan mereka sebagai penjajah di Tanah Melayu (Khoo Kay Kim, 1980).

5.1.8   Perubahan Masyarakat, Ekonomi dan Politik

Faktor lain yang mewujudkan penulisan sejarah berbentuk tempatan atau asia sentrik sebenarnya ialah faktor perubahan masyarakat, ekonomi dan politik seperti yang berlaku di Malaysia khususnya selepas Perang Dunia Kedua. Pasca Perang Dunia Kedua telah membentuk satu perubahan besar dalam penulisan sejarah Malaysia. Contohnya, perkembangan politik dan nasionalisme pada ketika itu telah menyebabkan sejarawan di Asia Tenggara meluaskan kajian dan penyelidikan mereka kepada teknik-teknik penulisan barat dan maju dalam penulisan sejarah berbentuk moden (Khoo Kay Kim, 1980).

5.1.9   Faktor Penjajah

Perkembangan politik dalam kalangan penduduk Tanah Melayu telah digalakkan pada zaman pendudukan Jepun. Kemudian, timbul kesedaran nasionalisme yang kuat dalam kalangan masyarakat tempatan untuk menentang penjajah. Untuk mewujudkan penulisan yang bersifat Malaysia sentrik sebenarnya boleh dikaitkan dengan keperluan bagi membina negara bangsa berikutan kemerdekaan yang baru dicapai. Oleh itu, penulisan tempatan sentrik adalah lebih berorientasikan kepada budaya ketimuran, berdasarkan aktiviti masyarakat peribumi dan tempatan, melihat tindakan yang dilakukan dan dialami oleh orang-orang tempatan serta tindakan dan reaksi mereka terhadap kuasa pihak kolonial (Khoo Kay Kim, 1980).

RUMUSAN

Tuntasnya, sejarah merupakan satu medium penting dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Sejarah juga mampu membantu kita sebagai rakyat Malaysia mengelak daripada mengulangi kesilapan yang sama. Contohnya, penjajahan kuasa asing ke atas tanah air kita sendiri. Dengan ini, bidang penulisan sejarah adalah satu daripada aspek yang dapat membantu kita dalam mencari fakta yang betul dan sahih.

            Penulisan sejarah negara dari perspektif kolonial banyak memaparkan kehebatan yang dimiliki oleh pihak kolonial dari segi pentadbiran. Kehebatan yang ditonjolkan oleh pihak kolonial akan mengukuhkan dan mengagungkan martabat orang Eropah di mata dunia. Justeru, martabat masyarakat Timur khususnya di Tanah Melayu akan dipandang rendah oleh masyarakat lain.

            Oleh yang demikian, penulis sejarah tempatan bangkit untuk mengubah dan menulis semula sejarah negara mengikut perspektif sentrik Malaysia. Terdapat beberapa faktor seperti timbul kesedaran, kebangkitan semangat nasionalisme, kesediaan bahan rujukan dan lain-lain telah mempengaruhi perubahan pensejarahan Malaysia daripada konsep sentrik Eropah kepada sentrik Malaysia.

REFLEKSI

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya dapat menyiapkan tugasan ini dalam masa yang telah ditetapkan. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada .............................................. atas sokongan dan bimbingan dalam pelaksanaan tugasan ini.

            Berdasarkan tugasan ini, saya berpendapat bahawa sejarah merupakan suatu peristiwa yang telah berlaku pada masa lampau dan menceritakan jatuh bangun sesebuah tamadun. Sebagai rakyat Malaysia, adalah penting bagi saya mengetahui latar belakang dan cerita sebenar di sebalik usaha membangunkan dan memerdekakan negara Malaysia. Dengan ini, saya perlu melakukan penyelidikan tentang penulisan sejarah Malaysia.

            Namun, kebanyakan penulisan sejarah Malaysia ditulis oleh pegawai kolonial dan bersifat sentrik Eropah. Persoalannya, adakah pensejarahan Malaysia dari aspek penulisan kolonial ini memberikan kesan yang positif atau negatif terhadap masyarakat di Malaysia? Tugasan ini mendedahkan sifat dan sikap sebenar pihak kolonial pada masa lalu. Buktinya, mereka hanya ingin menonjolkan kehebatan mereka dan menindas serta merendahkan martabat masyarakat kawasan taklukannya seperti di Tanah Melayu.

            Kemudian, saya amat terpegun dengan usaha penulis tempatan yang berusaha menulis semula sejarah Malaysia mengikut perspektif tempatan. Hal ini menunjukkan penulis tempatan sedar akan kepentingan mewujudkan penulisan sejarah berasaskan pandangan masyarakat tempatan. Dengan ini, kehebatan dan keunggulan yang terdapat di Malaysia khususnya dapat ditonjolkan kepada masyarakat luar dari pelbagai aspek. Oleh itu, masyarakat luar tidak lagi memandang rendah akan masyarakat Malaysia akibat penulisan sejarah yang bersifat sentrik Eropah.

Seterusnya, sebagai seorang penulis sejarah negara, kita mestilah bersifat jujur dalam melaksanakan tugas supaya tidak bersifat bias. Penulisan sejarah seharusnya dinilai melalui pelbagai aspek dan tidak hanya mementingkan beberapa aspek tertentu. Contohnya, pihak kolonial hanya mementingkan kehebatannya dalam sistem pentadbiran. Begitu juga dengan penulis tempatan ketika dahulu yang hanya mengagungkan kaum kerabat istana sahaja.

Walaubagaimanapun, pensejarahan dari aspek kolonial juga memainkan peranan penting dalam pensejarahan Malaysia. Hal ini kerana ia telah menjadi bahan rujukan, mempunyai bilangan yang banyak serta mudah diperoleh dalam membuat kajian tentang sejarah Malaysia. Dengan ini, penulis sejarah tempatan tidak akan lari  daripada membuat rujukan berdasarkan pensejarahan negara yang bersifat sentrik Eropah.

Akhir sekali, saya berharap suatu hari nanti saya boleh menjadi salah seorang yang mengkaji dan menulis tentang sejarah pembentukan Malaysia. Melalui tugasan ini, saya mendapati penulisan sejarah yang bermutu mestilah mengambil kira pandangan  daripada kedua-dua pihak seperti pihak kolonial dan penulis tempatan. Lantas, sebuah penulisan sejarah yang mantap akan dapat dihasilkan.






RUJUKAN

1.         Buku
Abu Talib Ahmad & Cheah Boon Kheng. (1995). Isu-isu pensejarahan: Esei penghargaan kepada Dr. R. Suntharalingam. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Badriyah Haji Salleh Dan Liok Ee. (1975). Alam pensejarahan dan pelbagai perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Khoo Kay Kim. (1975). Pensejarahan Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Mohd. Yusof Ibrahim. (1971). Pengertian sejarah. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Mohd Yusof Ibrahim. (2000). Ilmu sejarah: Falsafah, pengertian dan kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Putaka.

Muhammad Yusoff Hashim. (1992). Pensejarahan Melayu: Kajian tentang tradisi sejarah Melayu nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Haji Yahaya. (1988). Sejarawan dan pensejarahan: Ketokohan dan karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noresah binti Baharom. (2007). Kamus dewan (Edisi keempat). Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2.         Internet
Hazman Azhar. (2013). Nota SJH3102 Bab5 Pensejarahan Perspektif Kolonial. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://www.scribd.com/doc/141465970/Nota-SJH3102-Bab5-Pensejarahan-Perspektif-Kolonial

Hazman Azhar. (2013). Nota SJH3102 Bab6 Persoalan Malaysia Sentrik. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://www.scribd.com/doc/141618899/Nota-SJH3102-Bab-6-Persoalan-Malaysia-Sentrik

Muhd Yusof Ibrahim. (1998). Kesultanan melayu Melaka 1400 (?) - 151l: Pensejarahan dan kesejarahan. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://myrepositori.pnm.gov.my/bitstream/123456789/1719/1/MDSS_1998_Bil.26_1.pdf

Zainal Abidin bin Abdul Wahid. (1991). Sejarah Malaysia: pentafsiran dan penulisan. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://library.perdana.org.my/Digital_Content/NLM/Batch4/DVD02/27-10/M959.5ZAISejarahMalaysiaPentafsirandanPenulisan%5BZainalAbidinbinAbdulWahid%5D.pdf

3.         Jurnal
Khoo Kay Kim. (1980). Pensejarahan Melayu Yang bersifat Perjuangan Sebelum Dan sesudah Merdeka. JEBAT, Bil. 10

Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. (2010). Journal of The Straits Branch of The Royal Asiatic Society July 1878. Dilayari pada 10.09.2014 dari http://www.mbras.org.my/journal.html

Nadzan Harun. Suatu pandangan awal terhadap sejarah lisan dalam konteks pengkajian sejarah Malaysia. Dilayari pada 10.09.2104 dari http://journalarticle.ukm.my/520/1/1.pdf

Siti Aisyah Binte Mohamed Salim & Ungku Maimunah Mohd Tahir. (2014). Membaca perwatakan Stamford Raffles menggunakan pensejarahan baru: Analisis dua teks. Jurnal Melayu Jilid 12(1), ms 1-13.